Beriga kesihatan mental kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Persatuan MAWAR sekali lagi telah menganjurkan perkongsian secara maya menerusi Siri MAWAR, yang bertajuk ‘Kesihatan Mental Kanak-kanak di Brunei Darussalam Bahagian Kedua’.

Persatuan MAWAR telah menjemput dan bekerjasama dengan Pegawai Psikologi dalam Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Rina @ Ramizah binti Haji Rahmad bagi sesi perkongsian itu.

Menurut kenyataan Persatuan MAWAR, perkongsian bagi bahagian kedua ini juga mendapat sambutan baik daripada orang ramai dengan penyertaan seramai 139 orang peserta termasuk ahli-ahli persatuan.

Kenyataan menyatakan, kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19.

Dayang Rina menekankan peranan dan tanggungjawab ibu bapa dan para penjaga dalam memantau emosi dan perubahan tingkah laku anak-anak mereka untuk membantu mengelakkan mereka daripada mengalami masalah kesihatan mental pada masa akan datang.

Beliau juga mengongsikan beberapa langkah praktikal dan sihat yang boleh digunakan oleh ibu bapa dan para penjaga mengawal selia emosi anak-anak mereka.

Dengan perkongsian siri MAWAR bahagian kedua ini, Persatuan MAWAR berharap akan dapat memberikan kesedaran dan meningkatkan kefahaman khususnya kepada ibu bapa dan para penjaga mengenai kewujudan tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak dan mengenal pasti langkah-langkah pencegahan masalah kesihatan mental dan mempelajari cara-cara yang sesuai dalam menangani isu berkaitan.

Antara yang mengikuti bahagian kedua perkongsian secara maya mengenai kesihatan mental kanak-kanak anjuran Persatuan MAWAR. – Gambar serahan Persatuan MAWAR