Beriga langkah keselamatan di sekolah

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 10 DIS – Sebagai inisiatifnya untuk memberigakan langkah-langkah keselamatan semasa musim cuti persekolahan ini, anggota Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) melalui Program Pengawasan Kejiranan telah membuat kunjungan dan menyampaikan taklimat kepada empat buah sekolah peringkat rendah dan menengah, di sini, baru-baru ini.

Empat sekolah tersebut ialah Sekolah Rendah (SR) Perpindahan Kampung Bukit Beruang II, SR Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Sekolah Menengah Sayyidina Othman Bukit Beruang dan Pusat Tingkatan Enam Tutong.

Hadir menyampaikan taklimat dan pengetahuan asas kepada guru-guru sekolah berkenaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani dan Sarjan Mejar 2150 Jaidin bin Abdullah.

Turut menyertai rombongan PDB ialah Pemangku Sementara Ketua Kampung Bukit Beruang, Haji Aminuddin bin Haji Abdul Karim.

Antara yang dijelaskan semasa taklimat itu termasuk nasihat dan isu-isu pencegahan terhadap kawalan dan penjagaan bangunan serta kawasan dalam sekolah ditekankan agar pihak-pihak berkenaan tidak menjadi mangsa kepada perbuatan jenayah seperti curi, khianat mahupun pemugut.

Pihak polis juga menyarankan agar petugas-petugas malam yang menjaga kawasan persekolahan bekerja dengan amanah dan telus di samping menitikberatkan aspek keselamatan diri dan segera menghubungi pihak polis di talian kecemasan 993 jika mendapati sebarang perkara yang mencurigakan dikesan semasa menjalankan tugasan kawalan.

Pihak polis ketika membuat kunjungan di salah sebuah sekolah di Daerah Tutong. – Gambar oleh PDB