Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Pusat Promosi Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Sebagai usaha memberigakan maklumat mengenai kesihatan reproduktif termasuklah statistik jangkitan hubungan kelamin (STI) dan kehamilan dalam kalangan remaja di negara ini, Pusat Promosi Kesihatan telah mengadakan Bengkel Kesihatan Reproduktif bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada 18 November lalu.
Bengkel yang dihadiri oleh seramai 40 orang ahli PIBG itu juga bermatlamat untuk membincangkan cara-cara bagi menangani isu itu serta membantu para ibu bapa untuk mempersiapkan diri bagi berbincang secara terbuka dengan anak-anak mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kesihatan reproduktif.
Berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, bengkel diisikan dengan sesi taklimat dengan tajuk ‘Kes Kehamilan Remaja di Sekolah dan Cara Menanganinya’, ‘Kesan Kehamilan dan Jangkitan STI di Usia Muda pada Kesihatan’, ‘Camana tah tu?’ dan ‘Remaja, Belia dan Undang-undang’ pada sebelah pagi.
Pada sesi petang pula menyaksikan aktiviti perbincangan dan pembentangan secara berkumpulan di mana hadir untuk mendengarkan resolusi daripada perbincangan berkumpulan itu ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim serta diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta bengkel.
Bengkel berkenaan merupakan salah satu daripada tiga bahagian projek yang dirancang oleh Pusat Promosi Kesihatan iaitu ACE Youth Project (A-Active and Ad-mirable, C-Charismatic dan E-Excellent) yang bermula bulan ini hingga April 2023.
Projek itu direka untuk membimbing para remaja seawal umur sembilan hingga 18 tahun tentang kesihatan reproduktif termasuklah penjagaan diri dari segi rohani dan jasmani, tip untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dengan gejala-gejala sosial serta ketegasan dalam membuat keputusan.