Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Beriga nilai-nilai Islam dalam industri pelancongan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bagi memberigakan kepentingan nilai-nilai Islam dalam meniti industri pelancongan sejajar dalam merealisasikan wawasan negara 2035, forum berjudul ‘Islamic Values in Halal Tourism and Hospitality in Negara Brunei Darussalam’ telah berjaya dilaksanakan semasa berlangsungnya Seminar Antarabangsa Hospitaliti dan Pelancongan Halal (ISHTaH) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Adapun forum pada majlis bersempena Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 itu telah menampilkan empat orang panel jemputan terdiri daripada Pemangku Pengarah, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh; Presiden, Persatuan Hotel-hotel Brunei (BAH), Awang Mohd Iswandi bin Maaruf; Tour Consultant, Darussalam Services Sdn Bhd, Haji Hasnal Bolkiah bin Haji Abdul Kadir; dan Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Manakala Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim selaku moderator forum tersebut.

    Tanai rutin dengan nilai keislaman

    Antara yang disentuh pada forum yang turut dibukakan menerusi platform Zoom itu ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr Haji Noralizam bahawa nilai-nilai menurut perspektif Islam itu sebagai suatu peraturan atau piawaian standard yang diperlukan demi sama-sama mencapai kebaikan secara menyeluruh yang mana apabila seseorang individu atau satu kelompok masyarakat itu menonjolkan tindak-tanduk yang baik dan indah maka itulah sesuatu yang bermatlamat untuk dijadikan contoh teladan.

    Maka, jelasnya sumber nilai-nilai Islam itu mestilah berteraskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang mana ia berkait rapat dengan soal kepercayaan atau akidah umat Islam. Hal ini begitu penting kerana setiap hamba Allah itu menitikberatkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan sehari-hari demi menggapai kecemerlangan proses pembangunan insan meliputi sosioekonomi.

    Ahli-ahli panel mengongsikan pandangan masing-masing ketika forum yang berlangsung semasa ISHTaH di ICC, Berakas. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Sumber nilai-nilai Islam itu mestilah berteraskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang mana ia berkait rapat dengan soal kepercayaan atau akidah umat Islam.

    Sementara itu, Dayang Salinah mengemukakan antara objektif utama penerapan nilai-nilai Islam dalam konteks perkhidmatan pelancongan di tanah air ini ialah dengan adanya layanan dan penghormatan yang terbaik daripada para petugas pelancongan kepada orang ramai dapat menyerlahkan identiti masyarakat kita yang mempraktikkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan sehari-hari.

    Memperkasa MESRA

    Manakala Awang Mohd Iswandi antaranya berkongsi bahawa adapun kepentingan penerapan kempen mesra pelanggan yang dipanggil, MESRA iaitu muhibah, etika, senyum, ramah dan adil bagi semua peringkat industri pelancongan dan hospitaliti tempatan selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang berakar umbi dalam budaya Brunei itu sememangnya sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dengan menggabungkan etika dan nilai-nilai Islam sesuai dengan ajaran dan amalan Nabi Muhammad SAW.

    Sehubungan itu, jelasnya begitu penting setiap perkhidmatan pelanggan dalam apa sahaja industri pelancongan dan hospitaliti itu mengutamakan lima prinsip dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, kehidupan, akal, keturunan dan harta.

    Beliau menjelaskan memelihara agama membawa maksud menghindari apa-apa yang boleh melanggar dan menghancurkan asas-asasnya termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi serta ketaatan kepada pemimpin ketika memberikan layanan, kejujuran dan kepercayaan harus menjadi amalan.

    Menurut beliau, memelihara kehidupan dalam prinsip Maqasid Syariah bermaksud menjaga persaudaraan, kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan nyawa, harta benda, memenuhi keperluan pekerjaan dan lain-lain serta memastikan garis panduan yang betul dalam menghidangkan makanan dan minuman, menyediakan makanan berkhasiat, perincian lengkap menu yang dipaparkan (ditakuti terdapat alahan atau yang dilarang agama).

    Pemeliharaan akal, yang bermaksud memberi perlindungan kepada minda manusia daripada apa sahaja yang menyebabkan kerosakan dan akal mesti dipupuk dengan nilai-nilai murni dan pengetahuan berguna, oleh itu perlunya mendidik dan memberi latihan kepada pekerja bagi membolehkan mereka menangani tugas yang diberikan.

    “Konsep pemeliharaan keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan adalah penting dan apa yang kita makan akan memberi kesan kepada kita atau keturunan kita.

    “Oleh kerana itu, menyediakan makanan halal adalah salah satu konsep dalam menjaga keturunan kita,” tambahnya.

    Dalam memelihara harta pula, jelas beliau, bermaksud melindungi kekayaan masyarakat dari kehancuran dan pemindahan harta benda ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk larangan ketidakadilan, penafian hak dan sebagainya serta keperluan untuk melindungi harta benda dan memastikan bahawa tempat itu selamat digunakan.

    Besarnya nilai pengalaman

    Dalam pada itu, Haji Hasnal turut berkesempatan berkongsi detik-detik pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kerjaya pemandu pelancong bahawa semestinya, pengalaman itu begitu mahal harganya.

    Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa daripada sesebuah pengalaman yang ditempuhi itu secara tidak langsung mampu mendidik diri untuk sentiasa memperbaiki kemahiran dari semasa ke semasa.

    Daripada sebuah persoalan yang diajukan oleh para pelancong itu sememangnya mampu mengembangkan minda kita untuk lebih menyelami lagi sesuatu perkara.

    Ujarnya lagi, semakin banyak pengetahuan yang diperoleh dan semakin mudah tugas ini dapat dikendalikan.

    Begitulah detik-detik yang sentiasa mengalir dalam menjalankan kerjaya ini yang sekali gus sebagai pemangkin diri untuk menjadi lebih baik lagi.

    Di samping itu, perlu menimba ilmu sebanyak-banyaknya menerusi bahan-bahan bacaan yang sahih serta melalui pelbagai kursus yang diketengahkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam bidang pelancongan seperti KSSUP menerusi Kempen MESRA.

    Melibatkan sebuah pekerjaan yang bermatlamat sebagai petunjuk arah dalam setiap pengembaraan, Haji Hasnal menjelaskan bahawa meskipun kebanyakan maklumat yang dikongsikan kepada pelancong hampir sama dalam sesebuah destinasi namun hakikatnya setiap perjalanan dalam membawa mereka sama ada di tempat-tempat menarik dalam negara mahu pun luar negara sememangnya mewujudkan pengalaman yang berbeza-beza.

    “Setiap soalan dan pemikiran yang diajukan pastinya memiliki nilai perspektif yang tersendiri.

    “Pastinya dalam menanai kerjaya sebegini mestilah memiliki pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara meliputi tempat-tempat yang dikunjungi seperti sejarah dan juga tidak ketinggalan meliputi aspek kebudayaan serta perkembangan yang lazimnya dimiliki oleh sesebuah masyarakat mahu pun setiap negara,” tambahnya yang turut mengemukakan pengurusan masa secara efisien juga menjadi salah satu perkara yang perlu dititikberatkan dalam membawa rombongan pelancong agar waktu perjalanan bergerak seperti yang dirancang.

    Oleh yang demikian, menerusi forum berkenaan dapatlah disimpulkan begitu penting penerapan nilai-nilai dan etika Islam itu diperkasakan oleh golongan petugas pelancongan dan hospitaliti tanah air dalam setiap tindak-tanduk rutin semasa memberikan layanan kepada pelanggan tanpa mengira sektor perhotelan, restoran dan sebagainya dengan harapan dapat menarik hati para pengunjung terutama pelancong dengan keindahan dan keunikan serta keramahan orang Brunei sehingga menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...