Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beriga pengetahuan ASEAN kepada pelajar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI, semalam, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di dewan maktab tersebut ialah Pengetua Maktab Sains, Haji Ismail bin Haji Zainal. Turut hadir ialah timbalan pengetua dan guru-guru dari maktab berkenaan.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, jerayawara ini bertujuan untuk memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka merupakan golong-an belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.

    Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Taklimat ini juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti, menurut kenyataan itu lagi.

    Wakil-wakil dari Jabatan Penerangan bergambar ramai bersama para penuntut Maktab Sains yang menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Maktab Sains.
    Wakil-wakil dari Jabatan Penerangan bergambar ramai bersama para penuntut Maktab Sains yang menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Maktab Sains.

    Taklimat juga diteruskan dengan maklumat mengenai Wawasan Brunei 2035 yang wajar diketahui oleh para penuntut mengenai strategi-strategi yang telah dirancang.

    Ia dapat meningkatkan kesedaran para penuntut tentang perkembangan negara di mata serantau serta menjadi pencetus semangat supaya mereka lebih gigih memajukan tanah air agar Wawasan 2035 dapat direalisasikan.

    Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan.

    Tetamu kehormat juga menyampaikan hadiah-hadiah kepada 10 orang penuntut yang berjaya menjawab Kuiz ASEAN.

    Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda