Berigakan asas pertolongan cemas

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Lebih 10 orang peserta yang terdiri daripada penduduk Kampung Katok ‘B’ dan guru-guru Sekolah Menengah Katok ‘B’ telah menghadiri Taklimat Kesedaran Asas Pertolongan Cemas yang dikendalikan oleh MAed Trainings and Consultancy di sekolah berkenaan, hari ini.

Kapten (B) Waedatul Zahrah binti Abdul Razak dari MAed semasa ditemu bual menjelaskan, taklimat berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pertolongan cemas.

“Dengan adanya asas pertolongan cemas yang ada pada diri peserta ia akan dapat sedikit sebanyak memberi bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu anggota paramedik datang ke tempat kejadian,” tambahnya.

Selain itu, tambah beliau, ia juga diadakan untuk memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai pertolongan cemas dan menimbulkan keyakinan kepada mereka yang boleh memberi pertolongan jika berlaku sebarang kecemasan.

Program taklimat bagi Kampung Katok ‘B’ itu disokong oleh Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) dan Pasukan ALERT yang mana sesi taklimat disampaikan oleh Dayang Siti Ummi Az-Zahraa binti Haji M Suhaili dari MAed.

Semasa program itu, para peserta juga berpeluang membuat praktikal cara memberi pertolongan cemas dengan langkah-langkah yang betul dan selamat.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Pemangku Ketua Kampung Katok ‘B’ Kapten (B) Pengiran Muhd Redzuan bin Pengiran Said.

Sesi taklimat turut menyaksikan penyerahan sijil penghargaan kepada Awang Mohd Haikal bin Bahrin, remaja yang sebelum ini tular di media sosial berkaitan aktiviti berkebajikan yang dilakukannya iaitu kerja pembersihan di kawasan Bukit Silat.

Peserta melakukan latihan pertolongan cemas secara praktikal semasa program berkenaan.
Kapten (B) Pengiran Muhd Redzuan menyampaikan sijil kepada Awang Mohd Haikal.