Berikan sokongan dan kerjasama

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2018 diseru memberikan sokongan padu dan bekerjasama melalui kaedah Whole Government Approach dalam pengendalian dan pelaksanaan Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2018.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kali Pertama Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13 tahun ini di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Mesyuarat membincangkan persiapan dan perkembangan terkini daripada jawatankuasa-jawatankuasa kerja sambutan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS di sini, hadir sama di mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Perindustrian selaku Timbalan Pengerusi, Dato Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; setiausaha-setiausaha tetap Jabatan Perdana Menteri, KKBS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; ketua-ketua jabatan kerajaan serta Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei dan Majlis Wanita Brunei Darussalam.

Hari Belia Kebangsaan jatuh pada 1 Ogos setiap tahun di mana para belia di negara ini berkumpul dengan tujuan bermakna. Pengisytiharan Hari Belia oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi 1 Ogos dijadikan sebagai Hari Belia Kebangsaan adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini.

Suasana mesyuarat membincangkan persiapan Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2018.

Dalam usaha membangun belia di negara ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan fiskal.

Selain daripada itu, Hari Belia Kebangsaan juga merupakan wadah kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia.

Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2018 bersetuju konsep sambutan berfokuskan kepada kepimpinan dan keusahawanan.

Aktiviti pengisian yang dibincangkan termasuk penganugerahan Anugerah Hari Belia Kebangsaan, format persembahan termasuk ikrar, video dan persembahan belia, perhimpunan belia dan aktiviti-aktiviti sampingan termasuk majlis Doa Kesyukuran.

Keahlian jawatankuasa melibatkan Timbalan Menteri Tenaga dan Perindustrian mencerminkan konsep Sambutan Hari Belia pada tahun ini yang memfokuskan kepada keusahawanan yang turut melibatkan keahlian daripada sektor-sektor kerajaan lain dan NGO dengan penglibatan pelbagai pihak mengikut kaedah Whole of Nation ke arah pembangunan belia termasuk kepimpinan.