BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Jurulatih diingatkan sentiasa memberikan motivasi dan sokongan kepada atlet negara agar mereka dapat meningkatkan prestasi bagi memberikan yang terbaik dalam sesuatu kejohanan.
Para atlet juga perlu membuat persediaan yang cukup di samping menjaga keterampilan dan budaya Negara Brunei Darussalam serta saling hormat menghormati dan bersikap baik sepanjang acara berlangsung.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) yang akan berlepas ke Republik Singapura bagi menyertai Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN kesembilan yang akan bermula dari 14 hingga 20 Julai.
Dalam sesi perjumpaan di Dewan Utama Bangunan Baru Kementerian Pendidikan pagi tadi, Menteri Pendidikan juga juga berharap agar atlet dapat kembali dengan kejayaan di samping menimba ilmu dan pengalaman daripada kejohanan tersebut.

Turut hadir pada sesi perjumpaan tadi ialah Setiausaha Tetap, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah, dan Awang Haji Azis. Kontinjen MSSBD akan berlepas ke Republik Singapura bagi mengikuti Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN kesembilan yang akan bermula dari 14 hingga 20 Julai.
Kontinjen MSSBD diketuai oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Haji Azis bin Haji Nayan, selaku Chef de Mission. Dua puluh enam orang akan berlepas ke Singapura pada 13 Julai terdiri daripada lapan orang pegawai bersama 18 atlet yang akan menyertai tiga acara ping pong, sepak takraw dan boling 10 pin.
Daripada 18 atlet berkenaan, dua orang atlet akan bertanding dalam Kategori Individu dan Beregu acara ping pong, manakala empat lagi akan bertanding dalam acara boling 10 pin untuk Kategori Individu, Beregu dan Berpasukan sementara acara sepak takraw pula akan disertai oleh 12 orang atlet yang bakal bertanding dalam Kategori Berpasukan, Inter-regu dan Beregu.