Berilah masa kepada Messi – Pochettino

PARIS, 16 SEPT – Lionel Messi tampil buat kali pertama dalam kesebelasan utama Paris Saint Germain (PSG) ketika mereka mencatat keputusan seri 1-1 menentang Club Brugge dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Real Madrid, juara Eropah 13 kali, meninggalkannya lewat untuk menewas Inter Milan di San Siro dalam kumpulan yang diungguli oleh pasukan Moldova Sheriff Tiraspol selepas pusingan pertama perlawanan peringkat kumpulan.

Bintang Argentina itu digandingkan dengan Neymar dan Kylian Mbappe buat pertama kali, selepas hanya diberi peluang beraksi 24 minit bersama PSG sejak meninggalkan Barcelona.

Ander Herrera, yang meledak dua gol ketika kemenangan hujung minggu lalu ke atas Clermont, memberikan PSG gol pendahuluan pada minit ke-15 hasil hantaran lintang Mbappe namun Brugge berjaya menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu menerusi Hans Vanaken.

Messi kemudian melencongkan bola ke sudut gawang tetapi PSG yang kehilangan Mbappe akibat kecederaan berpuas hati dengan hanya satu mata berdepan dengan pasukan yang hanya dianggap sebagai pelengkap Kumpulan A itu.

“Kami perlu memberi masa kepada mereka untuk mengenali antara satu sama lain. Kami harus mempertingkatkan prestasi dan mencari keseimbangan yang betul.

“Saya sudah menjelaskan sebelum ini namun kami harus kekal tenang. Saya gembira dengan cara Messi bermain, keinginan dan sikapnya serta cara dia menyesuaikan diri,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino. – AFP

Aksi Lionel Messi (tengah) bergelut mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA Kumpulan A Kelab Brugge menentang Paris Saint-Germain di Stadium Jan Breydel di Bruges pada 15 September. – AFP