Berisiko kerana nisbah penduduk dan jangkitan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Nisbah penduduk dan kes COVID-19 yang tinggi pada penularan gelombang kedua di negara ini telah menjadikan negara ini tergolong dalam negara yang berisiko tinggi.

Jumlah penduduk Brunei ketika ini adalah dalam 400,000 lebih dan kes jangkitan pula lebih 3,000 adalah sesuatu yang dianggap tinggi dan disebabkan itu, negara ini dilihat sebagai sebuah negara yang berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu ketika menjawab persoalan mengenai kedudukan negara yang diletakkan sebagai negara berisiko tinggi dalam satu nasihat perjalanan dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, pada kebiasaannya di luar negara, jumlah kes positif akan dibandingkan dengan nisbah bagi penduduk sesebuah negara.

Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) hari ini mengeluarkan amaran perjalanan ke beberapa buah negara yang turut menyenaraikan Negara Brunei Darussalam, Sri Lanka dan Jamaica dalam senarai negara berisiko kerana peningkatan jumlah kes COVID-19, menurut laporan oleh Channel News Asia (CNA).

CDC juga telah menaikkan nasihat perjalanannya ke ‘Tahap 4: Yang Paling Tinggi’ untuk negara-negara tersebut, dengan memaklumkan kepada warga AS bahawa mereka perlu mengelakkan perjalanan ke sana, menurut CNA. Laporan juga menyatakan bahawa negara ini telah mencatatkan 116 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 3,683 orang dan memperkenalkan langkah sekatan baharu pada bulan lalu setelah melaporkan jangkitan tempatan pertama dalam masa 15 bulan.

Malaysia, Thailand dan Bangladesh juga antara negara yang di bawah CDC Tahap 4 bagi notis perjalanan kesihatan AS.