Berita gembira buat Tasha Manshahar

SETELAH tiga bulan mendirikan rumah tangga penyanyi Tasha Manshahar mengumumkan dirinya kini sudah hamil.

Isteri kepada penyampai radio Raqib Majid ini berkongsi berita gembira itu di laman sosial Instagramnya baru-baru ini.

Tasha, 26, berkata, suami membawa dia ke klinik selepas berasa bimbang dengan tahap kesihatannya yang mengalami demam tidak menentu sejak beberapa hari.

“Setiap ibu mempunyai pengalaman yang berbeza dan ini pengalaman saya. Semuanya bermula bila saya sering mengalami demam.”

“Dalam sehari ada masa tertentu badan akan panas sangat, kepala tak sakit tapi berpusing-pusing pening hampir sepanjang hari. Saya masih lagi berjauhan dengan suami dan banyak habiskan masa di sekolah dan rumah sewa di Melaka, hujung minggu baharu jumpa suami. Suami risau bila suhu badan saya panas terutamanya waktu malam, nak buat kerja pun lembik dan tiada tenaga tapi bab makan menjadi-jadi,” ujarnya.

Tasha Manshahar bergelar isteri kepada Fahrur Raqib Abdul Majid, 28, dengan sekali lafaz di Masjid Jamek Kajang, pada 8 September lalu.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia akan berkongsi pengalamannya sebagai ibu mengandung dari semasa ke semasa di media sosialnya.

“Saya berkongsi berita gembira ini kepada semua. Perjalanan ini masih panjang dan semoga Allah SWT permudahkan perjalanan saya dan semua ibu mengandung yang lain. Semoga perkongsian ini juga memberi manfaat dan kebaikan kepada diri saya dan orang lain. Tiada lain yang saya harapkan melainkan perkongsian ilmu daripada yang lebih arif dan berpengalaman,” ujarnya. – Agensi

Tasha sering mengalami panas badan sebelum mengetahui dirinya mengandung. – Agensi