Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Berita palsu jejas bekalan minyak masak bersubsidi

    PUTRAJAYA, 30 JUN – Berita tidak benar kononnya subsidi minyak masak satu kilogram akan dihentikan mulai 1 Julai menyebabkan orang ramai membeli minyak masak bersubsidi itu dalam kuantiti yang besar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau berkata tindakan orang ramai itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak satu kilogram di pasaran.

    “Soal bekalan ini kita sedang buat penelitian secara terperinci… Perkara ini ada dibincangkan tadi dan menteri memberikan jaminan beberapa tindakan akan dilakukan bagi memastikan bekalan cukup.

    “Kita ada langkah-langkah tertentu yang dibincangkan tadi yang tidak perlu saya sebutkan di sini tetapi soal ketidakcukupan, kita ada kaedah tertentu untuk perbaiki dalam masa terdekat.

    “Pastinya jumlah yang kita subsidikan setiap bulan (iaitu) 60,000 tan metrik sebulan sepatutnya lebih daripada mencukupi kecuali ada perkara tertentu berlaku yang perlu kita uruskan dengan lebih baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini, hari ini.

    Annuar dalam pada itu berkata pihaknya turut mengesan tindakan penjual dalam talian yang membuat jualan semula terhadap minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM27 untuk lima paket sedangkan di pasaran hanya RM12.50 bagi lima paket.

    “Semalam ada iklan di platform jualan dalam talian yang buat tawaran ini secara terbuka… saya sudah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk ambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

    “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan buat tindakan susulan, yang penting tindakan tegas akan diambil bagi sesiapa sahaja yang melanggar akta sedia ada,” katanya. – Bernama

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (dua, kiri) mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...