BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dengan tegas menafikan kesahihan berita tular di media-media sosial yang menyatakan bahawa pihak polis telah mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan dan mengarahkan orang ramai untuk segera pulang ke rumah.
PDB dalam kenyataannya menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seumpamanya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dan tidak terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat yang mencurigakan dan tidak pasti akan kesahihannya.
Kenyataan menyatakan, dalam situasi penularan wabak COVID-19 yang dihadapi pada masa ini, PDB akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan maklumat-maklumat palsu akan diperjelaskan dengan secepatnya bagi mengelak sebarang tanggapan dan sentimen buruk yang boleh sahaja mendatangkan huru-hara kepada masyarakat awam.
PDB menegaskan bahawa jika didapati sebarang individu yang menyebarkan maklumat palsu, mereka akan diambil tindakan undang-undang di bawah Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.