Berita tular kakitangan Digital World dijangkiti tidak benar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Maklumat yang telah tular di laman sosial berhubung jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan kakitangan Digital World dan pihak pengurusannya adalah tidak benar.

Digital World Enterprise mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Media Permata bagi mengulas perkara berkenaan. Wakil pengurusan Digital World Enterprise menyatakan bahawa tidak ada seorang pun kakitangan atau pihak pengurusan yang telah dijangkiti pada ketika ini.

“Kami akan membuat laporan polis mengenai perkara ini, kerana bukan hanya sekali ini terjadi, bahkan telah tular beberapa kali mengenai kakitangan kami dijangkiti wabak COVID-19.

“Kali ini, kami tidak akan berdiam diri, kerana ia telah menjejaskan perniagaan kami dan penurunan jualan yang drastik setelah berita palsu tersebar. Digital World Enterprise juga telah mengarah kakitangannya untuk sentiasa mematuhi SOP Kementerian Kesihatan dan bekerjasama dengan pihak kementerian jika terjadi penularan dalam kalangan kakitangan,” tambah beliau.

Digital World Enterprise amat tegas mengenai perkara berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung penyebaran berkenaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei juga sentiasa menasihatkan orang ramai agar jangan sekali-kali terlibat dalam mengeluarkan dan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sah dan tidak berasas.