YUTIAN, 25 DIS – Berkat usaha dan penat lelah menyimpan selama 12 tahun Ailijiang Abdul Aini, 29, akhirnya berjaya membuka kilang membuat roti naan dengan bermodalkan RMB1 juta (RM 620,000).
Tatkala mereka yang seusia dengannya sibuk memilih hala tuju kehidupan masing-masing selepas tamat persekolahan, Ailijiang yang ketika itu berumur 17 tahun gigih bekerja sebagai pembuat roti naan. “Kemahiran saya dalam membuat roti naan diwarisi daripada ayah saya yang juga seorang pembuat roti naan terkenal di sini.”
“Beliau antara yang menjadi inspirasi saya untuk membina perusahaan ini”, ujar pemuda yang juga pemilik Syarikat Pembangunan Inovasi Kebudayaan Roti Naan Meiyu Berhad.
Menurut pemuda berketurunan Uygur itu, impiannya untuk membuka sebuah kilang berjaya direalisasikan pada 2018, dengan bermodalkan RMB3 juta (RM 1.86 juta).
“Selain mengumpul hasil titik peluh sendiri, saya turut menerima sumbangan RMB2 juta (RM1.2 juta) daripada Kumpulan Syarikat Lapangan Terbang Xinjiang Berhad yang melabur dengan perniagaan ini”, tambah Alijiang bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Alijiang berkata, beliau gembira dengan pembukaan kilang membuat roti naan itu kerana impiannya untuk membantu penduduk setempat yang miskin tercapai. – Bernama






























