Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Berjayakah Goa pulih di bawah kerajaan baharu?

    GOA, INDIA – Tempat tumpuan pelancong India yang tidak dinafikan lagi, dan negeri terkecil dalam demokrasi terbesar di dunia, telah mengundi pada Isnin untuk memilih kerajaan baharu dengan matlamat memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan menyelamatkan alam sekitar yang diancam oleh lonjakan harga hartanah yang tidak terkawal.

    Lebih 1.1 juta pengundi di negeri barat Goa akan memutuskan siapakah antara 301 peserta yang boleh membantu menyelamatkan tanah mereka yang rapuh dari segi ekologi yang sedang bergelut menghadapi pelancongan yang tidak terkawal itu.

    Ia adalah salah satu daripada lima negeri India yang mengundi secara berperingkat pada Februari dan Mac dalam apa yang dilihat sebagai ujian bagi parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, Bhartiya Janata, menjelang pilihan raya umum yang dijangka pada 2024. Keputusan tersebut akan diumumkan pada 10 Mac nanti.

    “Penduduk tempatan tidak mampu membeli sebuah apartmen atau rumah, atau juga sebidang tanah di Goa lagi kerana harga hartanah telah melonjak naik oleh mereka yang ingin memiliki secebis daripada nikmat tersebut,” kata Atish Fernandes, yang mengendalikan Joseph, bar popular di ibu kota Panjim.

    Negeri itu mempunyai populasi kurang daripada dua juta tetapi menjadi tuan rumah kepada lebih daripada lapan juta pelancong pada 2019, sebelum pandemik COVID-19 menyebabkan penutupan restoran dan ribuan pengangguran. Beratus-ratus maut dicatatkan tahun lalu akibat gangguan bekalan oksigen yang kerap di salah satu fasiliti COVID-19 di Kolej Perubatan Goa.

    Atish Fernandes yang berbaju hijau bersedia untuk melayani pelanggan di Joseph Bar yang popular di Panjim, Goa. – AP
    Pelancong mengambil gambar di Fontainhas, tapak warisan UNESCO dengan rumah gaya Portugis di Panjim. – AP
    Pengawal keselamatan di tempat perhimpunan pilihan raya yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Narendra Modi, di Mapusa, Goa. – AP

    Industri pelancongan, talian hayat kepada ekonomi Goa, perlahan-lahan pulih tetapi tidak semua pekerjaan telah kembali.

    Goa jua telah muncul sebagai destinasi rumah kedua pilihan untuk kelas menengah mewah India, yang meningkatkan dalam aktiviti pembinaan. Fernandes berkata hak tanah merupakan isu utama bagi setiap warga Goa memandangkan kekayaan baharu itu kebanyakannya dijana daripada penjualan tahan warisan, pembangunan hartanah atau pembrokeran untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

    Pada perhimpunan kempen di tengah-tengah Goa pada Khamis, Modi menawarkan kepada pengundi wawasannya tentang ‘Golden Goa’ dengan kemakmuran yang didorong oleh pelancongan dan infrastruktur. Kongres pembangkang dan Parti Aam Aadmi yang berpangkalan di Delhi menjanjikan pembangunan yang mampan, pekerjaan dan kerajaan bebas rasuah, manakala Kongres Trinamool, dari West Bengal, mempunyai rancangan untuk program kebajikan untuk penganggur.

    Kedua-dua parti serantau yang terkenal menyertai perdebatan untuk meneroka cita-cita nasional mereka.

    Bagi komuniti asli Goa seperti petani dan nelayan, apa yang dipertaruhkan ialah cara hidup yang berbeza yang selama berabad-abad telah selari dengan persekitaran hijau yang subur dan biodiversiti pantai.

    Negeri itu telah menyaksikan pergolakan politik yang sengit sejak beberapa bulan lalu, dengan calon yang popular termasuk bekas ketua menteri, pegawai tertinggi yang dipilih telah bertukar pihak dalam usaha mereka untuk mendapatkan pencalonan, sering mengubah kesetiaan antara parti yang mempunyai ideologi yang bercanggah.

    Goa telah mencipta rekod, “tiada tandingan” dalam sejarah demokrasi India, dengan 24 penggubal undang-undang dalam 40 anggota dewan undangan negeri bertukar parti dalam tempoh lima tahun lepas, menurut laporan oleh Persatuan Pembaharuan Demokratik, sebuah kumpulan bukan kerajaan bekerja untuk reformasi pilihan raya.

    Oleh itu, dalam memastikan calonnya tidak berpindah parti selepas pengundian, parti Kongres telah membuat mereka berjanji setia.

    “Di sini, hanya dalam beberapa minggu, setiap pihak telah memalukan dirinya sendiri dengan membuat ejekan terhadap platform dan cita-cita mereka sendiri,” penulis Vivek Menezes berpendapat dalam majalah mingguan Outlook.

    Politik Goa adalah landskap politik India yang huru-hara, di mana gabungan pelbagai identiti agama dan kasta dalam membentuk pilihan raya itu.

    BJP di bawah Modi dengan tegas telah menang dua kali di pentas nasional dengan politiknya yang mengutamakan Hindu yang telah mengasingkan umat Islam dan minoriti lain serta parti sekular. Tetapi cengkaman kuasanya telah dicabar, terbaharu dengan peningkatan pengangguran dan bantahan petani selama setahun di pinggir New Delhi.

    Di Goa, yang sering digambarkan oleh Bollywood sebagai kawasan barat dengan pelancong asing berpesta di pantai berpasir dan pemandangan yang didominasi oleh gereja Katolik bersejarahnya, penganut Kristian hanya merangkumi 25 peratus daripada populasi. Lebih daripada 66 peratus orang Goa adalah Hindu.

    Di kawasan Panjim yang unik di Fontainhas, jalan-jalan yang sempit dan berliku dipenuhi dengan rumah dan bar gaya Portugis. Salah satu Tapak Warisan dunia UNESCO, Fontainhas penuh dengan sejarah kolonial Goa, wilayah Portugis sehingga 1961.

    Di Joseph Bar, terletak di antara bangunan lama Fontainhas, ramai yang menyesali perubahan yang tidak dapat dielakkan yang dibawa oleh pasaran bebas, terutamanya dalam ekonomi di mana setiap orang ketiga terlibat dalam pelancongan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...