Berjimat cermat di musim cuti

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Dengan semangat cuti ini, pasti timbul rasa ingin membeli-belah dan makan dan, pada umumnya, bersuka ria, tetapi ia tidak sepatutnya menjejaskan perbelanjaan dan menambah bebanan kewangan yang akan kembali menghantui selepas cuti berakhir.

Bank Standard Chartered (SCB) telah mengongsikan beberapa petua berbelanja pada musim cuti ini dan salah satu daripadanya adalah rancang cuti dengan bijak.

Menurut SCB, merancang cuti lebih awal boleh menjimatkan banyak wang. Sekarang banyak syarikat penerbangan atau kumpulan ejen pelancongan mengadakan pesta perjalanan pada pertengahan tahun yang menawarkan pakej hebat dan harga tambang penerbangan yang rendah.

Merancang cuti lebih awal juga boleh membantu merangka belanjawan cuti yang realistik, misalannya mengetahui jumlah yang patut diperuntukkan untuk pengangkutan, kunjungan, penginapan serta aktiviti akan membantu membimbing anda dalam memperuntukkan jumlah yang mampu atau tidak mampu untuk perjalanan.

Selain bercuti di luar negara, terdapat banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan tanpa meninggalkan rumah dan masih boleh berasa seronok bercuti sementara menjimatkan wang.
Ini termasuk perkelahan di pantai bersama keluarga; menonton filem di rumah di mana bilik tamu dijadikan sebagai pawagam peribadi; keluarkan papan permainan keluarga yang akan menghiburkan budak-budak dan dalam masa yang sama, menguji kepintaran mereka; menganjurkan aktiviti amal keluarga di mana membantu orang lain akan berasa lebih bermakna.

Pada umumnya, tambah SCB, terdapat banyak aktiviti yang tidak mahal namun menyeronokkan yang boleh dilakukan semasa cuti yang tidak semestinya membabitkan membeli-belah.

Bagi musim perayaan yang bakal menjelang, SCB menyatakan, memberi dan menerima hadiah mungkin sesuatu yang menyeronokkan tetapi ia boleh menjejas akaun bank sekiranya senarai tidak dikawal.

SCB menegaskan, seseorang mesti bersikap munasabah mengenai apa yang mampu dari segi memberikan hadiah.

‘Membuat senarai dan memeriksanya dua kali’ adalah pepatah yang baik. Buat senarai hadiah sendiri bersama penerima, pilihan hadiah dan harga hadiah dalam senarai.

Apabila sudah selesai, campur kesemuanya untuk mendapatkan jumlah kos dan lihat jumlah yang ingin dibelanjakan. Buat penyelarasan di mana perlu untuk mengurangkan senarai jika perlu untuk menyesuaikan belanjawan dengan lebih baik.

Memberi hadiah mesra alam seperti pokok dan tumbuhan dibalut dalam pasu cantik bukan sahaja murah tetapi juga mampan, selain tanya hadiah yang diingini oleh penerima.
Selalunya penerima akan mengurangkannya sekali gus menjadikan perbelanjaan dan membeli-belah hadiah lebih mudah.

Kertas membalut dan reben juga menelan kos dan sementara ia cantik untuk dilihat, jangan lupa menimbang alternatif yang lebih murah dan mampan. Balut hadiah dalam kertas putih yang lebih murah tetapi serikannya dengan reben yang cantik.

Atau gunakan beg kitar semula supaya ia tidak membazir dan penerima boleh menggunakan beg itu semula.

SCB juga menekankan mengenai mengemas rumah, yang mana musim cuti ini adalah masa yang baik untuk memperuntukkan sehari mengemas dan membersihkan almari baju dan stor untuk membuang barang-barang yang tidak disentuh dalam beberapa tahun.

Asingkan dan simpan barang mainan dan pakaian lama dalam kotak dan simpan untuk jualan garaj atau dermakannya kepada badan kebajikan.

Orang ramai diingatkan bahawa walaupun kesempitan wang, terdapat ramai yang mungkin tidak bernasib baik dan gembira untuk menerima barang lama.

Membersihkan barang lama juga membantu mengurangkan barang yang tidak dipakai dan memberikan lebih banyak ruang.

Selain membersihkan almari dan stor, luangkan masa untuk diri dan menilai penyata kewangan. Renungkan perbelanjaan kewangan pada tahun ini dan sama ada telah membuat keputusan bijak atau tidak bijak. Ia akan membantu untuk membuat keputusan lebih baik pada tahun depan.

Di samping itu, buat penilaian mengenai pelaburan dan pinjaman serta nilai status kewangan sekarang untuk melihat sama ada stabil dari segi kewangan atau tidak.

Menjelangnya tahun baharu, buat rancangan dan penilaian baharu untuk tahun depan yang boleh dicapai secara realistik.