Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berjimat dalam penggunaan tenaga sangat dituntut

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Penjimatan tenaga merupakan amalan yang sangat dituntut oleh agama Islam. Islam pada dasarnya tidak menghalang keinginan dan kehendak manusia yang cenderung memerlukan penggunaan tenaga agar mengecapi kesenangan dan keselesaan.

    Tetapi jika penggunaan itu mencapai tahap pembaziran, ia adalah sangat merugikan diri, masyarakat dan negara.

    Ini adalah antara pengisian tazkirah Subuh sempena ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Tazkirah disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Sammali bin Haji Adam, dengan tajuk ‘Penjimatan Tenaga’, yang juga menyentuh mengenai penggunaan tenaga secara melampau atau berlebihan sehingga membawa ke tahap pembaziran adalah sangat merugikan bagi semua pihak.

    Jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini ialah kembali kepada kebijaksaan diri dalam menilai penggunaan tenaga antara keperluan dan keinginan.

    Hadir bersama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Pemangku Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.

    Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ pada minggu ini dikendalikan bersama oleh KHEU dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, serta JPM.

    Ianya merupakan satu program mingguan bagi mengalu-alukan dan meningkatkan kehadiran para jemaah bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Program tersebut turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui penyertaan menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala dalam kegiatan keagamaan yang telah diaturkan di awal pagi.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo ketika menghadiri tazkirah Subuh bersempena ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
    Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali ketika menyampaikan tazkirah dengan tajuk ‘Penjimatan Tenaga’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda