Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berjuang jalani dialisis hampir 21 tahun

    KUALA LUMPUR – Bukan mudah bagi seorang ibu tunggal Noraziah Amdan mengharungi cabaran dan dugaan dalam menjalani rawatan dialisis sejak hampir 21 tahun lepas namun itu sahaja pilihan yang ada demi kelangsungan hidupnya.

    Noraziah, 59, mengalami kerosakan buah pinggang akibat penyakit darah tinggi sewaktu berusia 30an dan semakin kronik selepas melahirkan anak lelaki bongsunya awal 2001.

    Beliau kemudian menjalani hemodialisis atau ‘mencuci darah’ bermula November 2001 sehingga kini iaitu kaedah rawatan menggantikan kegagalan fungsi buah pinggang bagi mengeluarkan bahan kumuh dalam badan, pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat supaya penyakitnya tidak lebih parah.

    “Setiap sesi rawatan memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk mengeluarkan air yang terkumpul dalam badan dan mencuci darah,” katanya yang menetap di Klang, Selangor kepada Bernama.

    Meskipun pergerakan hidupnya agak terhad ekoran menderita penyakit tidak berjangkit itu, Noraziah tidak pernah menganggap perkara itu penghalang dirinya meneruskan kehidupan seperti orang lain malah beliau masih mampu menggalas tanggungjawab seorang ibu dengan melakukan kerja harian di rumah mengikut kemampuannya.

    Fistula atau tapak yang ditanam ke dalam bahagian badan tertentu pesakit melalui pembedahan kecil bagi cantuman saluran darah vena (saluran darah masuk) dan arteri (saluran darah keluar) agar pesakit buah pinggang dapat menjalani rawatan dialisis. – Bernama
    Noraziah Amdan ‘berjuang’ sebagai pesakit dialisis selama hampir 21 tahun. – Bernama

    “Alhamdulillah, ahli keluarga, anak-anak, ibu dan adik-beradik menjadi pemangkin semangat dalam meneruskan hidup. Saya juga sentiasa mengikut nasihat doktor dan pakar bagi memastikan kesihatan terjaga sebaik mungkin,” katanya yang memiliki empat anak lelaki namun anak sulungnya meninggal du-nia pada 2003 akibat kemalangan jalan raya.

    Noraziah yang merupakan bekas pekerja swasta berkata ketahanan mental, disiplin dalam penjagaan pemakanan, pengambilan ubat-ubatan serta tidak pernah mengabaikan sesi rawatan hemodialisis yang ditetapkan amat penting kerana kesakitan dialami sukar diduga.

    “Kebiasaannya, selepas rawatan hemodialisis badan akan jadi letih, lemah serta saya akan mengalami pening kepala. Ini akan membuatkan emosi tidak stabil tetapi saya cuba pastikan ia tidak memudaratkan dengan berehat secukupnya.

    “Ini dugaan Allah dan saya reda. Selagi masih ada rawatan untuk bantu meneruskan kehidupan, saya akan ikhtiar dan sentiasa mengikut saranan serta nasihat doktor dan pakar. Insya-Allah,” katanya.

    Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata lazimnya pesakit dialisis boleh bertahan untuk hidup antara 10 hingga 15 tahun.

    “Bagaimanapun, dengan teknologi perubatan yang semakin berkembang dan pengawalan diri yang baik daripada pesakit, menjalani dialisis lebih daripada 20 tahun adalah tidak mustahil.

    “Sekiranya pesakit seorang yang patuh kepada rawatan, sentiasa menjaga pemakanan dan ubatan serta mendengar nasihat pakar maka kelangsungan hidup mungkin lebih tinggi berbanding mereka yang degil dan tidak mengikut rawatan dengan baik,” katanya.

    Menurut Dr Nor Fadhlina, pesakit buah pinggang kronik perlu menjalani hemodialisis kerana mereka tidak dapat membuang bahan kumuh dengan baik memandangkan satu daripada fungsi buah pinggang adalah untuk menapis semua sisa toksin dalam badan.

    “Mereka juga mempunyai tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan pelbagai masalah lain. Justeru, rawatan dialisis adalah kaedah membantu membuang toksin dan air berlebihan serta menyeimbangkan elektrolit dalam badan mereka.

    “Melalui rawatan ini, pesakit dialisis boleh menjalani kehidupan seperti normal dan berasa lebih sihat,” kata Dr Nor Fadhlina. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...