Berjurai air mata Wan Maimunah terharu terima bantuan

Pelakon veteran Wan Maimunah meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan daripada Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa individu lain.

Menerusi video yang tular, Wan Maimunah yang kelihatan begitu sebak sehingga tidak dapat menahan air matanya dan tidak henti mengucapkan terima kasih kepada ustaz tersebut.

Menurut Wan Maimunah, dia menerima mesej daripada Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang memberitahu mengenai kunjungan tersebut.

“Alhamdulillah, ibu dapat lagi sumbangan yang dihantar oleh ustaz. Selepas solat subuh, ibu dapat mesej daripada Tengku Khalidah beritahu ustaz nak datang.

“Alhamdulillah, setiap yang baik pasti akan dibalas dengan kebaikan. Terima kasih ustaz datang dari jauh,” kata Wan Maimunah menerusi video yang turut dikongsikan di Instagram Tengku Khalidah.

Pelakon yang dikenali sebagai bintang air mata itu ditemui ketika berada di kediaman anak angkatnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.

Dalam pada itu, Ustaz Sheikh Muhammad berharap sumbangannya kepada golongan selebriti tidak diperbesarkan. – Agensi

Wan Maimunah tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika menerima sumbangan. – Agensi