Berjuta dikenakan sekatan semula

MANILA, 3 OGOS – Lebih daripada 27 juta orang di Filipina – kira-kira suku daripada populasinya – akan dikenakan sekatan semula hari ini selepas petugas kesihatan yang terbeban, memberi amaran negara itu tewas dalam ‘perangnya’ menentang koronavirus.

Semenjak awal Jun, semasa sebahagian besar penduduk negara itu keluar daripada perintah duduk di rumah paling lama, jangkitan disahkan di negara itu meningkat lima kali ganda, melepasi jumlah 100,000. Sekatan terbaharu, diumumkan oleh Presiden Rodrigo Duterte pada lewat Ahad dilaksanakan di ibu negara, Manila dan empat wilayah berhampiran di pulau utama Luzon.

Dalam tempoh dua minggu akan datang, pengangkutan awam, termasuk bas mini jeepney akan dihentikan dan penerbangan domestik pula digantung untuk cuba memperlahankan penularan virus yang membunuh lebih daripada 2,000 di negara itu.

Orang ramai diarahkan duduk di rumah kecuali mereka perlu membeli barangan penting atau bersenam di luar.

Hanya sejumlah kecil perniagaan akan dibenarkan beroperasi dan restoran hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan bawa pulang sahaja.

“Kami benar-benar bimbang. Tiada siapa menjangkakan ini,” kata Duterte, ketika beliau menolak seruan untuk memecat Menteri Kesihatan, Francisco Duque.

“Tiada siapa menjangkakan beribu-ribu akan sakit dalam masa sehari,” tambahnya.

Langkah itu dibuat selepas 80 persatuan perubatan yang mewakili berpuluh-puluh ribu doktor pada Sabtu menyeru Duterte mengetatkan sekatan virus ketika hospital-hospital, tidak dapat menanggung jumlah pesakit yang ramai, terpaksa mengarahkan orang ramai pulang.

Mereka menyambut baik keputusan Duterte hari ini, mengatakan ia akan memberikan kelegaan kepada petugas kesihatan dan memberikan masa kepada sistem kesihatan untuk menangani peningkatan, selepas Filipina merekodkan 5,032 jangkitan baharu pada Ahad. – AFP

Seorang petugas kesihatan memakai PPE berjalan antara khemah di kawasan tempat letak kereta diperluaskan untuk rawatan COVID-19 dari Pusat Perubatan Memorial Gat Andres Bonifacio di Manila, Filipina, 3 Ogos. Presiden Filipina, Duterte kelmarin mengumumkan pelaksanaan semula sekatan di ibu negara Filipina bagi mengekang virus. – AFP