GELSDORF, JERMAN – Kini sudah tiba musim menuai di dusun organik Christian Nachtwey di barat Jerman dan pekerja sedang mengisi kereta sorong mereka dengan epal merah Elstar yang sudah masak, sedia untuk dihantar ke pasar raya Eropah.
Namun ladang Nachtwey juga memungut hasil tanaman kedua: Kebanyakan pokok epal ditanam di bawah panel solar yang telah menghasilkan elektrik semasa musim panas yang luar biasa pada tahun ini, sementara menyediakan buah-buahan di bawah tempat redup yang amat diperlukan.
“Idea yang dikemukakan adalah amat mudah,” ujar Nachtwey, di mana ladangnya terletak di Gelsdorf, perjalanan yang mengambil masa satu jam dari selatan Cologne.
“Matlamatnya adalah untuk melindungi dusun berkenaan, tanpa mengurangkan permukaan penanaman yang sedia ada dan lebih-lebih lagi mengekalkan pengeluaran. Di samping itu, terdapat elektrik solar yang sedang dijana di tanah yang sama.”
Pemasangan solar secara besar-besaran di tanah suai tani sudah menjadi semakin popular di Eropah dan Amerika Utara, ketika petani berusaha memanfaatkan tanah mereka serta memperkukuh sumber pendapatan kedua mereka.

Bagaimanapun, mendapatkan tanaman dan solar yang sesuai adalah sukar, disebabkan varieti buah yang moden telah pun disesuaikan dengan keadaan penanaman tertentu.
Sebarang perubahan boleh memberikan kesan, menyebabkan petani kehilangan pendapatan sekiranya buah mereka rosak, warna yang salah ataupun tidak semanis seperti yang disukai oleh pengguna.
Itulah sebabnya kenapa Nachtwey sedang bekerjasama dengan para penyelidik untuk menguji varieti epal yang mana satu yang boleh membesar dengan subur di bawah kanopi solar, dan jenis bumbung fotovolta yang mana satu paling sesuai digunakan untuk ladang berkenaan.
Untuk membandingkan keputusannya, sesetengah pokok ditutup dengan jaring konvensional yang biasanya digunakan untuk melindungi tanaman sensitif daripada hujan batu.
Juergen Zimmer, seorang pakar di bawah jabatan perkhidmatan pertanian negeri Rhineland-Palatinate, berkata epal yang ditanam di bawah bumbung solar adalah kurang manis pada tahun ini berbanding epal yang ditanam di bawah jaringan hujan batu.
Namun tidak ada epal yang ditanam di bawah bumbung solar yang mengalami kerosakan dalam cahaya matahari yang terik yang melanda rantau itu pada 24 Julai tahun ini, di mana sehingga 18 peratus daripada buah yang tidak ditutup mengalami selaran matahari pada hari itu, menurut beliau.
“Kami memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun penuh untuk mencatat kesemua keadaan cuaca yang mungkin berlaku, dan melihat pada hasil tanaman serta warna yang dihasilkan oleh pelbagai varieti pokok,” kata Zimmer.
Para penyelidik berharap ujian akan menunjukkan bahawa tanaman buah pokok hidup dengan subur di bawah panel solar. Ia mungkin dapat membantu mengelak penghasilan tenaga boleh diperbaharui daripada bersaing untuk tanah pertanian yang berharga – isu yang membimbangkan bagi mereka yang berusaha mengatasi masalah perubahan iklim dan kenaikan harga makanan.
Nachtwey berkata beliau boleh menggunakan elektrik solar yang dihasilkan di ladang untuk menjana kemudahannya sendiri dan juga mesin. Namun untuk memulakan inisiatif itu, dia merancang membekalkan elektrik kepada puluhan rumah yang terletak berhampiran terlebih dahulu. – AP