Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Berkenalan dengan pelajar berkeperluan khas

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Delegasi Projek Impian baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK) dan Delivering Education and Special Care (DES).

    Semasa lawatan itu, Pengasas Projek Impian, Dayang Lailatul Zubaidah binti Hussain melihat lebih dekat pelaksanaan dan garis panduan bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.

    Menurut kenyataan Projek Impian, murid-murid berkeperluan khas di sekolah-sekolah berkenaan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti sekolah.

    Lawatan dimulakan di DES di mana Pengetua DES, Dayang Rafizah binti Abdul Rahman menjelaskan bahawa sekolah itu pada masa ini mempunyai kurang 200 orang pelajar berkeperluan khas dan mereka menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang didiagnosis dengan sindrom down dan autisme.

    Ketika melawat sekolah tersebut, Dayang Lailatul Zubaidah menjelaskan bahawa ramai ibu bapa telah meluahkan kekecewaan mereka mencari persekolahan untuk anak-anak istimewa mereka.

    Dayang Lailatul Zubaidah bergambar dengan seorang pelajar semasa lawatan ke salah sebuah sekolah, baru-baru ini. – Gambar serahan Projek Impian

    Projek Impian meneruskan lawatan ke SMLK di mana program pra-vokasional telah diperkenalkan sejak 2012 dan sehingga kini sekolah tersebut mempunyai seramai 26 orang pelajar pra-vokasional.

    Pelajar dalam program pra-vokasional dikategorikan kepada dua iaitu mereka yang berkeperluan khas tahap tinggi seperti masalah intelek, pertuturan, pendengaran, penglihatan, fizikal, tingkah laku dan autisme.

    Kategori kedua adalah mereka yang mempunyai masalah pembelajaran terhad iaitu mereka yang mempunyai kemahiran asas akademik yang terhad dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Dalam kes ini, pelajar akan mempunyai Rancangan Pendidikan Individu (IEP) mereka sendiri, sumber pembelajaran tersuai untuk menyokong pelajar berkeperluan khas.

    Lawatan diakhiri dengan pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada kedua-dua pihak.

    Projek Impian komited dalam usahanya untuk menyediakan peluang yang lebih baik untuk komuniti berkeperluan khas dan mengharapkan kerjasamanya dengan sekolah.

    Oleh itu, Projek Impian berhasrat untuk meningkatkan kesedaran semua sekolah yang menawarkan pendidikan berkeperluan khas untuk membantu ibu bapa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...