Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Berkenan adakan kunjungan muhibah kepada PM Malaysia

    Gambar oleh Infofoto

    PUTRAJAYA, MALAYSIA, 28 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat ke Putrajaya, Malaysia bagi mengadakan kunjungan muhibah kepada Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba

    Sejurus keberangkatan tiba di Pangkalan Udara Subang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh TYT Perdana Menteri Malaysia.

    Turut hadir menjunjung keberangkatan Baginda Sultan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.

    Baginda Sultan kemudian berangkat bersama TYT Datuk Seri Anwar Ibrahim melintasi barisan kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada para anggota Angkatan Tentera Malaysia.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin. Berangkat mengiringi Baginda pada kunjungan muhibah itu ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang disambut oleh TYT Perdana Menteri Malaysia. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Sebelum berangkat balik, Baginda Sultan disembahkan ucapan selamat berangkat daripada TYT Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut berangkat balik ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh TYT Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Doa sempena keberangkatan khas dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    Kunjungan Muhibah

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menuju ke kediaman rasmi Perdana Menteri bagi Kunjungan Muhibah. Sebelum acara bermula, doa sempena keberangkatan khas telah dibacakan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, yang antara lainnya mendoakan kesejahteraan Baginda Sultan dan TYT Perdana Menteri Malaysia.

    Semasa kunjungan muhibah tersebut, Baginda Sultan menzahirkan ucapan tahniah kepada TYT Datuk Seri Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, baru-baru ini.

    Dengan pelantikan itu, Baginda Sultan mengalu-alukan agar kerjasama dua hala yang sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi, di samping menaruh harapan dengan kepimpinan TYT Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memacu Malaysia ke arah kesejahteraan bagi semua pihak termasuk di rantau ASEAN dan peringkat global.

    Kunjungan muhibah itu, antara lainnya mencerminkan keakraban hubungan yang mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang sudah sekian lama terjalin.

    Ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk mengesahkan dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala serta membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama dan meneroka bidang-bidang kerjasama baharu, demi keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan penduduk di kedua-dua buah negara.

    Selesai kunjungan muhibah, Baginda Sultan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh TYT Perdana Menteri Malaysia.

    Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan ucapan selamat berangkat daripada TYT Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Tuan Yang Terutama mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu di Istana Negara, selepas dikurniakan titah perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Brunei dan Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak Januari 1984, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan kesalinghubungan serta kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...