Tuesday, November 28, 2023
25.3 C
Brunei

    -

    Berkenan adakan lawatan ke daerah Vangvieng

    VIENTIANE, LAOS, 4 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke daerah Vangvieng.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Baginda di Stesen Kereta Api Vientiane dialu-alukan oleh Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith. Kedua-dua pemimpin seterusnya menaiki sebuah kereta api khas berkelajuan tinggi dari Vientiane menuju ke daerah Vangvieng.

    Semasa di daerah Vangvieng, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyaksikan pemandangan sekitar kawasan daerah berkenaan serta melawat pameran produk-produk pertanian dan beras.

    Selesai lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama kemudiannya menghadiri Majlis Santap Tengah Hari.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melawat pameran produk-produk pertanian dan beras. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan menaiki kereta api khas berkelajuan tinggi dari Vientiane menuju ke daerah Vangvieng. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menadahkan tangan semasa doa dibacakan sebelum meninggalkan tempat persemayaman. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar bersama TYT Thongloun Sisoulith semasa lawatan ke daerah Vangvieng. – Gambar oleh Infofoto

    Keberangkatan balik

    Sementara itu, pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bertolak meninggalkan Vientiane selepas menamatkan Keberangkatan Negara.

    Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Laos, Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith, selaku Menteri Pengiring; Ketua Pejabat Presiden, Puan Yang Terutama Khemmany Polsena; Datuk Bandar Vientiane, Tuan Yang Terutama Athsphangthong Siphandone dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Laos ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay.

    Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih dari 2 minggu, 41 pekerja terowong masih terperangkap

    NEW DELHI, 28 NOV - Pasukan penyelamat di India mula menggali secara manual kelmarin dengan harapan dapat mencapai 41 pekerja binaan yang terperangkap dalam...