Berkenan adakan lawatan ke JIPK dan Jabatan Buruh

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar.

Keberangkatan Baginda Sultan di JIPK dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji

Apong serta Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

JIPK berperanan untuk mengawal dan mengatur orang-orang asing keluar atau masuk ke dalam negara ini supaya ia tidak menjejaskan kepentingan negara, keselamatan, ekonomi, sosial, agama, budaya serta mendukung hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat perkhidmatan bagi perdagangan dan pelancongan.

Jabatan itu juga berperanan untuk menentukan taraf pendudukan serta melaksanakan pendaftaran-pendaftaran yang berhubungan dengan kelahiran dan kematian, kerakyatan, kad pengenalan dan anak-anak angkat.

Semasa lawatan berkenaan, Baginda Sultan berkenan untuk meninjau dengan lebih dekat serta menerima sembah penerangan mengenai beberapa bahagian di JIPK termasuk Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat; Bahagian Kad Pengenalan Pintar; Bahagian Dokumen Perjalanan; Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik; Bahagian Pas Pekerja Asing; Bahagian Permit Masuk dan Bahagian Perundangan dan Perhubungan Antarabangsa.

Baginda juga berkenan berangkat melawat Bahagian Penyelidikan, Perkembangan dan Komputer dan Unit Tapisan Keselamatan di bawah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Bahagian Pendaftaran Taraf Kebangsaan, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan serta Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang.

Dari JIPK, Baginda Sultan berkenan berangkat meneruskan lawatan ke Jabatan Buruh dengan keberangkatan Baginda dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim.

Jabatan Buruh berperanan mentadbir dan menguatkuasakan Perintah Pekerjaan 2009 bagi memastikan piawaian mencapai tahap yang memuaskan serta memastikan tindakan bersesuaian diambil untuk melindungi pekerja dan menyelesaikan pertikaian perdagangan atau perselisihan faham yang timbul antara pekerja dan majikan. Baginda turut berkenan meninjau dan melawat ke beberapa bahagian di Jabatan Buruh termasuk Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan, Unit Kewangan Jabatan Buruh dan Bahagian Tenaga Pekerja Asing. Keberangkatan Baginda Sultan itu adalah untuk memastikan JIPK dan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri peka akan isu-isu yang ditangani oleh kerajaan Baginda serta usaha untuk mencapai visi dan misi jabatan-jabatan berkenaan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke Jabatan Buruh, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan meninjau lebih dekat bahagian-bahagian di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Baginda Sultan ketika berkenan mendengar sembah penerangan mengenai pendaftaran pasport semasa berangkat mengadakan lawatan ke JIPK.

Baginda Sultan berkenan meninjau salah satu bahagian yang terdapat di Jabatan Buruh semasa mengadakan lawatan ke bangunan tersebut, kelmarin.