Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan adakan lawatan kerja ke Totalenergies, BFI

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin berkenan mengadakan lawatan kerja perasmian ulang tahun TotalEnergies EP (Brunei) BV dan majlis pelancaran loji Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) di Belait.

    Berangkat mengiringi Baginda ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda mula-mula berangkat ke TotalEnergies EP bagi merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-35 TotalEnergies di negara ini. Keberangkatan tiba Baginda ke Onshore Processing Plant (OPP) TotalEnergies EP Lumut dijunjung oleh menteri-menteri kabinet terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Pengurus Besar TotalEnergies, Jerome Saniez.

    Semasa keberangkatan Baginda di sana, Baginda berkenan menandatangani plak perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-35 TotalEnergies EP dan seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Jerome Saniez.

    Sejurus itu, Baginda berkenan menyaksikan tayangan klip video yang memaparkan perkembangan dan pencapaian TotalEnergies selama 35 tahun beroperasi di Negara Brunei Darussalam. Baginda seterusnya berkenan berangkat menyaksikan Pameran History Tunnel – Archive of TEPB Achievements diikuti lawatan ke OPP dan Central Control Room (CCR).

    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan kunjungan ke TotalEnergies EP (Brunei) BV (atas) dan Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) (bawah) kelmarin. Lawatan kerja Baginda ke dua buah syarikat itu diiringi oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani plak perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-35 TotalEnergies EP.
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan menyaksikan Pameran Pencapaian BFI.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan kakitangan BFI.
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai di makmal BFI.
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai di CCR, TotalEnergies EP.

    Baginda kemudian berkenan berangkat ke BFI di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) bagi majlis pelancaran loji BFI di sana.

    Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengurniakan titah menekankan bahawa projek BFI merupakan komitmen kerajaan mendukung usaha ke arah meningkatkan ekonomi negara.

    Industri petrokimia tersebut juga dihasratkan menjadi salah satu sumbangan utama dalam menambah kepelbagaian produk eksport negara. Ia juga dijangka akan mengurangkan lagi kebergantungan Brunei kepada pengeksportan produk minyak dan gas.

    Baginda juga menekankan bahawa BFI memainkan peranan penting dalam membekalkan urea kepada negara-negara yang bergantung kepada hasil pertanian. Kegiatan pengeksportan tersebut akan secara langsungnya juga mengembangkan sektor eksport logistik negara.

    Baginda turut menyentuh beberapa pencapaian besar BFI, antaranya menghasilkan lebih daripada 631,000 tan metrik baja urea semenjak Januari 2022, yang mana sebanyak 556,000 tan metrik telah pun berjaya dieksport ke negara asing yang mempunyai nilai pendapatan sebanyak AS$322 juta.

    Selain itu, Baginda turut berbangga kerana BFI mempunyai 66 peratus pengambilan tenaga pekerja tempatan dari institusi pengajian teknikal tempatan dan luar negara.

    Perkara ini, sejajar dengan hasrat wawasan negara 2035, untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Di samping itu, Baginda turut menyentuh mengenai Syarikat BFI akan terus memainkan peranan penting dalam menjayakan lagi aspirasi kerajaan dan negara.

    “Dengan pelancaran loji Syarikat BFI, ia akan memacu peluang untuk membangunkan peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menyumbang lagi ke dalam operasi loji BFI terutamanya dalam pelbagai bidang seperti logistik, sekuriti, katering dan lain-lain,” titahnya.

    Sejurus itu, Baginda berkenan menyaksikan tayangan klip video yang mengetengahkan perkembangan Syarikat BFI sejak awal penubuhannya hinggalah pencapaiannya yang terkini.

    Baginda kemudian berangkat menyaksikan Pameran Pencapaian BFI dan mengadakan lawatan ke tapak Loji Ammonia dan Urea, Bilik Pusat Kawalan Loji dan makmal syarikat berkenaan.

    Baginda juga berkenan menerima sembah taklimat mengenai objektif dan hala tuju BFI seterusnya menandatangani plak peringatan Syarikat BFI.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda