Berkenan adakan lawatan sambil belajar

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Rombongan seramai 30 orang pelajar Tahun 5 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang mengambil subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Asing lainnya telah mengadakan Lawatan Penempatan Belajar ke Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, hari ini.

Berangkat sama dalam lawatan itu ialah anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Kunjungan yang diungkayahkan oleh Fakulti Bahasa Asia itu diketuai oleh Ketua Fakulti Bahasa Asia, Awang Milhan bin Adam.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Hajah Noorliah binti Haji Aspar.

Sejurus ketibaan, para pelajar serta tenaga pengajar JIS terlebih dahulu mendengarkan taklimat ringkas mengenai sekolah berkenaan sebelum memulakan sesi pembelajaran bersama pelajar di sekolah berkenaan. Hajah Noorliah dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa dengan adanya keberangkatan Yang Teramat Mulia berserta rombongan daripada JIS berkenaan, akan menjadi perangsang kepada para guru untuk terus meningkatkan lagi usaha dan bekerja dengan lebih gigih ke arah menyumbang kepada perkembangan pendidikan negara.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah ketika berkenan berangkat mengadakan Lawatan Penempatan Belajar ke Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 bersama pelajar-pelajar Tahun 5 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama rombongan pelajar JIS dan pelajar Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, kelmarin.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyertai aktiviti permainan ‘Passing Parcel’.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan mengikuti program pembelajaran semasa Lawatan Penempatan Belajar ke sekolah berkenaan. – Gambar JIS

Kunjungan berkenaan antara lain berobjektif bagi mendedahkan para pelajar kepada suasana pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu dalam kelas selain membolehkan para pelajar bertukar-tukar pendapat dan bersoal jawab mengenai pembelajaran tersebut.

Lawatan juga bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman pelajar dalam subjek Bahasa Melayu. Antara aktiviti yang diadakan semasa lawatan tersebut ialah pembelajaran dan pengajaran menggunakan ICT yang merupakan salah satu amalan terbaik di sekolah tersebut.

Menurut Hajah Noorliah lagi, sekolah tersebut begitu komited terhadap mandat dan kepercayaan pihak Kementerian Pendidikan dalam membina dan mengekalkan budaya merentasi ICT dan menggunakan pendekatan yang berkesan dalam mempromosikan perubahan budaya sekolah ke arah budaya ICT yang berinovasi. Dalam lawatan itu, rombongan pelajar turut menyertai beberapa aktiviti yang diadakan bersama pelajar lainnya termasuk belajar mengenai mata pelajaran Bahasa Melayu seperti Peribahasa dan Penjodoh Bilangan.

Ketika ditemui pihak media, Awang Milhan mengatakan bahawa kunjungan lawatan penempatan berkenaan merupakan salah satu cara bagi kedua-dua buah sekolah agar dapat meningkatkan lagi mutu serta kualiti pembelajaran serta pengajaran di kedua-dua buah sekolah menerusi pertukaran idea, strategi serta cara terbaik dalam pengajaran yang dilakukan oleh tenaga pengajar daripada kedua-dua buah sekolah semasa lawatan.

Menurutnya lagi, pada masa kini pendekatan menggunakan kaedah ICT merupakan kaedah yang diperlukan dalam menarik minat para pelajar mengikuti sesi pembelajaran yang dijalankan dan perkara berkenaan dapat dilihat di Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 di mana penggunaan ICT semasa sesi pengajaran dan pembelajaran diterapkan bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan interaktif.