Tuesday, May 30, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Berkenan adakan perjumpaan dua hala

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Infofoto

    LABUAN BAJO, 11 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi, berkenan berangkat menghadiri perjumpaan-perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone; dan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Taur Matan Ruak.

    Perjumpaan-perjumpaan dua hala tersebut berlangsung secara berasingan di Pusat Konvensyen Meruorah.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Rakyat Demokratik Laos

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, di mana kedua-dua pemimpin menekankan perkembangan yang baik dalam kerjasama di antara kedua-dua buah negara, termasuk dalam bidang pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

    Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan perkembangan kerjasama dalam bidang tenaga dan pertanian, khususnya pembekalan beras.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri perjumpaan dua hala bersama TYT Sonexay Siphandone di Pusat Konvensyen Meruorah. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri perjumpaan dua hala bersama TYT Taur Matan Ruak.

    Menjelang ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara pada tahun ini, Tuan Yang Terutama menyampaikan undangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mengadakan keberangkatan negara ke Republik Demokratik Rakyat Laos bagi memperingati pencapaian berkenaan.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos mula terjalin pada 27 Julai 1993, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam bidang pendidikan dan bantuan teknikal, kebudayaan, belia dan
    sukan.

    Perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berangkat menghadiri perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Republik

    Demokratik Timor-Leste, di mana kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama pendidikan di antara kedua-dua buah negara, termasuk program biasiswa.

    Tuan Yang Terutama juga menzahirkan kegembiraan atas pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Udara di antara kedua-dua buah negara, yang penting bagi meningkatkan pelancongan. Di samping itu, Baginda turut menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Demokratik Timor-Leste bagi mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam.

    Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste telah dijalinkan pada 20 Mei 2002, di mana kerjasama dua hala adalah tertumpu kepada bidang pendidikan dan latihan, serta perkhidmatan udara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China sedia hantar orang awam pertama ke angkasa lepas

    CHINA, 29 MEI - China akan menghantar angkasawan awam pertamanya ke angkasa lepas sebagai sebahagian daripada misi kru ke stesen angkasa Tiangong, esok, ketika...
    - Advertisment -