Berkenan anugerah ijazah kepada 475 graduan

Oleh Nurdiyanah R. & Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah berkenan menganugerahkan ijazah kepada seramai 475 orang graduan Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma pada sebelah petang Majlis Konvokesyen UBD ke-31 di Dewan Canselor UBD, hari ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Daripada seramai 475 orang graduan yang menerima sijil ijazah, seramai 199 orang daripadanya ialah graduan Sarjana, 257 Graduan Sarjana Muda dan 19 orang graduan Diploma.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Rata-rata graduan yang ditemui selepas majlis penganugerahan berkenaan menyatakan rasa syukur atas kejayaan yang mereka capai.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar dengan salah seorang graduan dan ahli keluarga.
Awang Asri merakamkan detik gembira bergambar bersama ahli keluarga.

Salah seorang graduan, Dayang Nurul Asilah binti Kamran berkata, kejayaan yang beliau kecapi pada hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai.

Graduan jurusan Sarjana Pengajaran (Master of Teaching) itu menekankan, tanpa adanya kegigihan daripada para pensyarah dan kerjasama daripada rakan-rakan seperjuangan terutamanya apabila menyelesaikan tugasan berkumpulan selama ini, beliau tidak akan beroleh kejayaan yang diperolehinya pada hari ini.

Bagi Dayang Nurul Asilah , pendorong utama beliau selama ini ialah ibu bapa dan adik-beradik serta saudara mara yang sememangnya tidak putus mendoakan beliau sehingga ke menara gading.

Dalam pada itu, graduan jurusan Sarjana Pengajaran (Master of Teaching) itu turut menekankan bahawa kejayaan berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah dicapai dengan sendirinya tanpa adanya kegigihan para pensyarah dan kerjasama daripada rakan-rakan seperjuangan terutamanya apabila menyelesaikan tugasan berkumpulan selama ini sehingga tercapainya satu impian untuk menerima ijazah ini.

Sementara itu, Awang Asri bin Haji Adam yang juga graduan jurusan Sarjana Pengajaran semasa ditemui berkata, pembelajaran selama setahun setengah sememangnya sentiasa diwarnai dengan pelbagai cabaran dan rintangan, namun apa yang penting semangat juang yang lahir daripada diri sendiri itulah menjadi pemangkin positif untuk meneruskan misi sampai ke titik kejayaan dan untuk masa hadapan.

“Meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya dan dalam masa yang masa mencari pekerjaan demi membantu keluarga, itulah perancangan saya selepas ini,” tambahnya dengan penuh keyakinan.

Graduan jurusan Diploma dalam Pendidikan (Diploma in Education), Awang Mohammad Effendi bin Haji Daud pula berkongsi antara cabaran yang paling besar iaitu pengurusan masa antara kerjaya dan juga pengajian dalam satu masa, yang mana ia memerlukan kekuatan mental dan juga fizikal untuk mendidik diri agar sentiasa positif dalam meraih kejayaan ini.

Di samping itu, beliau turut menyatakan harapan untuk meneruskan lagi pelajaran sehingga ke peringkat seterusnya demi meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan jika memperolehi rezeki pada masa akan datang.