Berkenan beramah mesra dengan pegawai veteran ABDB

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Beramah Mesra Bersama Pegawai-pegawai Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75.

Keberangkatan Baginda Sultan di Royal Berkshire Hall, Jerudong Polo Club dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit yang diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud dan Mejar Jeneral (B) Pengiran Dato Paduka Seri Haji Abidin bin Pengiran Ahmad selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi majlis.

Setelah sesi bergambar ramai dengan ahli jawatankuasa majlis yang disusuli dengan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan di Ruang Chesney, Baginda Sultan kemudian dijunjung berangkat ke dalam Royal Berkshire Hall untuk majlis pemotongan kek hari keputeraan seterusnya menerima pesambah khas.

Semasa acara pemotongan kek itu, tetamu bersama-sama berselawat semoga usia Baginda dilanjutkan dan kekal karar memerintah negara dan Doa Kesyukuran telah dibacakan oleh Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaili.

YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dalam sembah alu-aluannya menyembahkan, majlis berkenaan bertujuan untuk meraikan ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 tahun.

Dengan keberangkatan itu juga, tambah beliau, memberi peluang kepada pegawai-pegawai veteran ABDB untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan serta merapatkan hubungan yang mungkin telah berjauhan semenjak pegawai-pegawai berkenaan bersara.

Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Grand Stand Pavilion dengan diakhiri sesi bergambar ramai termasuk sesi bergambar ramai khas di mana Baginda berkenan bergambar ramai bersama pegawai-pegawai bersara ABDB yang berusia 75 tahun ke atas.

Majlis berkenaan merupakan acara keraian yang terulung dan bersejarah untuk menzahirkan rasa kesyukuran dan keperwiraan, menzahirkan rasa penghargaan atas kebajikan yang dikurniakan, dan menzahirkan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang juga seorang Pemerintah Tertinggi ABDB.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra dengan pegawai-pegawai veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Kelab Polo Jerudong kelmarin. Keberangkatan Baginda dijunjung oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan berkenan memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Royal Berkshire Hall, Jerudong Polo Club kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama pegawai-pegawai bersara ABDB yang berumur 75 tahun ke atas.
Antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.