BRUSSELS, Belgium, 18 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bagi mengadakan kunjungan muhibah kepada His Majesty the King of Belgium di Royal Palace of Brussels.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi kunjungan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Royal Palace of Brussels dialu-alukan oleh His Majesty King Philippe Leopold Louis Marie, King of Belgium.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat bersama-sama His Majesty the King of Belgium bagi sesi bergambar diikuti dengan perjumpaan kunjungan muhibah.
Selepas kunjungan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninggalkan Royal Palace of Brussels.
Menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah His Majesty King Philippe Leopold Louis Marie.
Perjumpaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama His Majesty the King of Belgium ini menandakan hubungan baik dan erat antara Negara Brunei Darussalam dan Belgium.


