Berkenan berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke KHEU

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Sejurus keberangkatan di kementerian berkenaan, Baginda berkenan berangkat ke bangunan baharu di Jabatan Urusan Haji dan kemudian berangkat ke Dewan Multaqa bagi mendengar pemberigaan atau taklimat RS 2020-2024 dan Bengkel Penyediaan Pelan Tindakan yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Mohd Noor selaku ketua urus setia Unit Muraqib.

Bengkel yang diungkayahkan oleh Unit Muraqib itu dikhususkan bagi penyelaras-penyelaras di jabatan dan bahagian KHEU yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 dan menjadikannya sebagai panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Turut hadir sepanjang lawatan tidak berjadual Baginda di kementerian berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Bahar.

Baginda seterusnya berangkat ke bangunan lama KHEU dengan memulakan lawatan ke Bahagian Kewangan seterusnya ke Unit Perundangan Islam, Bahagian Perhubungan Awam dan Bahagian Antarabangsa dan MABIMS.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Baginda Sultan ketika berkenan mendengar sembah penerangan semasa berangkat mengadakan lawatan ke KHEU.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan berkenan dijunjung bagi bergambar ramai bersama kakitangan KHEU.
ATAS-BAWAH: Baginda Sultan berkenan meninjau Julangan Titah-Graduan Bersepadu. – Gambar oleh Infofoto

Baginda Sultan ketika berkenan meninjau bangunan KHEU.

 

Seterusnya, Baginda berangkat ke tingkat tiga di mana Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Unit Perumahan-Jabatan Pentadbiran, Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Perpustakaan KHEU dan Unit Teknologi Maklumat ditempatkan.

Baginda kemudian mengadakan lawatan ke Jabatan Pentadbiran yang mengandungi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Seksyen Pengurusan Perkhidmatan dan Faedah, Seksyen Pengambilan dan Keanggotaan dan Seksyen Perjawatan.

Baginda juga mengadakan lawatan ke Kaunter Agihan Zakat di Bahagian Kutipan dan Agihan zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Sebelum berangkat balik, Baginda mengadakan lawatan ke MUIB, Pejabat Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama di bangunan baharu kementerian berkenaan.

Baginda kemudian meneruskan lawatan ke Julangan Titah-Graduan Bersepadu seterusnya beramah mesra dengan graduan-graduan Bersepadu.

Perkhidmatan Graduan Bersepadu diusahakan oleh lepasan graduan yang mempunyai lima unit iaitu Pustaka Graduan, Designer Graduan, Pasaria Graduan, Sajian Graduan dan Tutor Graduan.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.