Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat balik

    Oleh Syahmi Hassan –

    SAN FRANCISCO, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berangkat meninggalkan San Francisco, Amerika Syarikat (AS) setelah menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli

    Yang Maha Mulia ialah Assistant Chief of Protocol, Jabatan Negara AS. Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke AS, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Ali.

    Doa Selamat dibacakan sebelum Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat meninggalkan hotel persemayaman. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani foto. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    AELM telah dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R Biden Jr sebagai Pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi 2023.

    Dengan tema Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua, perbincangan semasa AELM termasuk kemampanan, iklim, peralihan tenaga yang adil, kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.

    Pada penghujung AELM itu, APEC Leaders’ 2023 Golden Gate Declaration Creating a Resilient and Sustainable Future for All telah dikeluarkan.

    Sebagai sebahagian daripada hasil APEC 2023, Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan bersama sempena AELM ke-30.

    Presiden AS telah menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi APEC AELM kepada Presiden Peru, Puan Yang Terutama Dina Boluarte. Peru akan menjadi tuan rumah APEC bagi 2024.

    APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik dan bagi mempromosikan perdagangan dan pelaburan yang bebas, adil dan terbuka.

    APEC terdiri daripada 21 ekonomi di rantau Asia Pasifik iaitu Australia; Negara Brunei Darussalam; Kanada; Chile; Republik Rakyat China; Hong Kong, China; Indonesia; Jepun; Republik Korea; Malaysia; Mexico; New Zealand; Papua New Guinea; Peru; Republik Filipina; Persekutuan Rusia; Singapura; Chinese Taipei; Thailand; AS dan Vietnam.

    Selain menghadiri AELM semasa berada di San Francisco, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berangkat bagi menghadiri APEC Welcome Reception, Second Indo-Pacific Economic Framework for Prosperity (IPEF) Leaders’ Meeting, Majlis Santap Malam bagi Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC, Majlis Perjumpaan dengan Naib Presiden Kanan Syarikat Boeing dan Presiden Boeing Global, Brendan Nelson, serta majlis-majlis perjumpaan dua hala secara berasingan dengan Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Vo Van Thuong dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda