Berkenan berangkat hadiri istiadat penghormatan terakhir

KOTA BHARU, 29 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, paduka ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V,

Sultan Kelantan, yang berlangsung di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim, Malaysia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah.

Sebaik sahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Baginda terus berangkat menuju ke Istana Balai Besar di mana Baginda dijunjung berangkat ke Balairung Seri untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Al-Marhum DYMM Sultan Ismail Petra dan seterusnya menunaikan solat jenazah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta ahli-ahli kerabat diraja lainnya seterusnya berangkat ke Makam Diraja Langgar, Kota Bharu untuk Istiadat Pemakaman Diraja.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum DYMM Sultan Ismail Petra, paduka ayahanda kepada KDYMM Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan, yang berlangsung di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim, Malaysia. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dijunjung berangkat ke Balairung Seri untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Al-Marhum DYMM Sultan Ismail Petra dan seterusnya menunaikan solat jenazah. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi. – Gambar Infofoto

Sebelum berangkat balik meninggalkan Kota Bharu, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu, Anwar bin Hashim,.

Berangkat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha.

Al-Marhum DYMM Sultan Ismail Petra mangkat pada 28 September 2019, jam 8:11 pagi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kedua), Kota Bharu pada usia 69 tahun.

Al-Marhum Sultan Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu. Baginda merupakan putera tunggal dan bongsu kepada Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Al-Marhumah Raja Perempuan Zainab.

Al-Marhum ditabalkan sebagai Sultan Kelantan ke-28 pada 30 Mac 1980 dan memerintah Kelantan Darul Naim sehingga 13 September 2010.