Monday, November 28, 2022
27.1 C
Brunei

-

Berkenan berangkat hadiri sidang-sidang kemuncak ASEAN

Gambar oleh Infofoto

PHNOM PENH, 11 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25, Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ASEAN-ROK ke-23 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (ASEAN-PBB) ke-12 di Hotel Sokha Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25.

Pada sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan bahawa Republik Rakyat China merupakan rakan kongsi ASEAN yang penting dalam menyumbang secara signifikan ke arah keamanan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial, selama lebih tiga dekad.

Kerjasama ekonomi yang meluas merupakan salah satu tonggak Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China. Oleh itu, Baginda mengalu-alukan perundingan dalam menaik taraf perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China bagi memastikan ia adalah terkini, lebih mesra perniagaan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama para pemimpin melambaikan tangan selepas Sidang Kemuncak ASEAN-PBB.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25 yang berlangsung di Hotel Sokha Phnom Penh, Kemboja. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan berkenan berjabat tangan dengan TYT Yoon Suk-yeol semasa Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-23.

Menyentuh mengenai Perjanjian Kerjasama Teknikal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap bagi pelaksanaan awal perjanjian tersebut sekali gus dapat mengukuhkan kapasiti manusia dan teknikal, di mana perjanjian ini adalah sangat selaras dengan inisiatif Pembangunan Global yang diumumkan oleh Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, semasa Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2021 demi memastikan kemakmuran dalam masa jangka panjang.

Pada penghujung titah, Baginda juga mengesahkan semula komitmen Negara Brunei Darussalam untuk mengukuhkan usaha-usaha dan nama baik bagi pelaksanaan penuh dan berkesan Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC), memandangkan tahun ini menandakan ulang tahunnya ke-20, serta menggalakkan pihak masing-masing untuk mempercepatkan rundingan ke arah kesimpulan Code of Conduct yang komprehensif dan teguh demi memastikan kepercayaan dan keyakinan berterusan di rantau ini.

Sementara itu, Premier of the State Council of the People’s Republic of China, Tuan Yang Terutama Li Keqiang, dalam ucapan antara lainnya menekankan pencapaian yang ketara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, di mana ASEAN dan China merupakan rakan perdagangan yang terbesar antara satu sama yang lain, meskipun berhadapan dengan kesan-kesan COVID-19 dan landasan antarabangsa yang rumit.

Perdana Menteri Kemboja dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Hubungan Dialog ASEAN-China, yang antara lainnya menyambut baik pelaksanaan ASEAN-China Comprehensive Strategic Partnership Plan of Action for Peace and Prosperity 2021–2025, serta melahirkan penghargaan terhadap sumbangan-sumbangan China kepada ASEAN COVID-19 Response Fund.

Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin membincangkan mengenai peningkatan perdagangan terbuka ke arah kestabilan ekonomi serantau dan mengalu-alukan kerjasama antara ASEAN dan China dalam bidang transformasi digital dan pertumbuhan hijau.

Pada penghujung sidang kemuncak ini, ASEAN-China Joint Statement of the 20th Anniversary of the DOC; ASEAN-China Joint Statement on Promoting Common and Sustainable Development; dan ASEAN-China Joint Statement on Food Security Cooperation telah diluluskan.

Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-23

Selepas Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN lainnya bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-23.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa mengurniakan titah dalam sidang kemuncak itu, antara lainnya menekankan bahawa ROK adalah sebuah rakan strategik ASEAN yang sangat berharga, yang telah menyumbangkan pertumbuhan, pembangunan dan kemakmuran di rantau ini.

Kepimpinan ROK dalam inovasi, tegas Baginda, dapat menyokong rakyat ASEAN untuk mengambil kebaikan sepenuhnya Revolusi Perindustrian Keempat, seperti menggunakan perkembangan teknologi dalam e-dagang yang boleh memanfaatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memastikan pertumbuhan dan daya saing mereka yang berterusan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyuarakan pendapat Baginda bahawa semua pihak perlulah bekerjasama dalam menangani kesan perubahan iklim dan oleh itu, Baginda mengalu-alukan ROK untuk bekerjasama dalam membangunkan dasar bagi menangani cabaran melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam.

Dalam mengakhiri titah, Baginda juga menekankan kepentingan kerja sub-serantau, sambil menegaskan bahawa BIMP-EAGA kekal sebagai kawasan pertumbuhan yang ketara dengan potensi pembangunan, pelaburan dan perindustrian yang besar.

Oleh itu, Baginda menzahirkan penghargaan atas sumbangan ROK kepada Dana Kerjasama BIMP-EAGA-ROK yang akan dapat memajukan lagi sosioekonomi.

Sementara itu, Presiden ROK, Tuan Yang Terutama Yoon Suk-yeol, telah mengesahkan semula komitmen ROK untuk memacu strategi Indo-Pasifik negara tersebut, selaras dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, ke arah meningkatkan kerjasama yang terbuka dan inklusif.

Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh, selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-ROK, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN, yang antara lainnya menggariskan pengukuhan lanjut kerjasama di antara ASEAN dan ROK melalui peningkatan kerjasama komprehensif dan pengukuhan perkongsian bagi keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

Dalam sidang kemuncak ini, para pemimpin membincangkan bagi mempercepatkan tindakan untuk menangani perubahan iklim; usaha-usaha ke arah mempertingkatkan arkitektur digital serta mengukuhkan lagi kerjasama bersama ROK dalam bandar pintar dan ekonomi hijau.

Sidang Kemuncak ASEAN-PBB

Selesai Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-23, Baginda berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB.

Semasa bertitah dalam sidang kemuncak ini, Baginda Sultan menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres, atas sokongan berterusan PBB bagi usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN.

Baginda seterusnya mengakui pandemik COVID-19 telah memperlahankan kemajuan dan menghambat usaha-usaha bagi merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Oleh itu, Sidang Kemuncak SDG kedua pada tahun 2023 adalah dialu-alukan, yang mana ia adalah masa yang tepat untuk mengkaji semula pendekatan ASEAN-PBB dalam melaksanakan Agenda 2030.

Ke arah ini, Baginda menyeru ASEAN dan PBB supaya bekerjasama lebih rapat lagi dan terus menggalakkan pelengkap antara Visi Komuniti ASEAN 2025 dan Agenda 2030.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya mengalu-alukan kerjasama dengan agensi PBB yang berkaitan melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam untuk mengukuhkan kapasiti ASEAN dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Dalam mengakhiri titah, Baginda juga menyampaikan pujian kepada TYT Setiausaha Agung PBB atas visi Agenda Bersama dalam mempromosikan masa depan yang lebih terjamin dan makmur.

ASEAN-PBB juga perlu kekal fokus ke arah mencapai matlamat bersama, akibat ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Baginda seterusnya berharap agar Tuan Yang Terutama dapat mempersiapkan Summit of the Future 2024 dengan jayanya bagi mengesahkan semula komitmen terhadap Piagam PBB dan menegakkan multilateralisme.

Sementara itu, TYT Antonio Guterres, dalam kenyataannya menekankan ASEAN sebagai sebuah rantau memainkan peranan yang penting dalam menangani peningkatan risiko ekonomi global yang berpecah-belah dan cabaran lain yang akan datang, melalui penyelesaian pelbagai hala.

TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen kemudian menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Hubungan Dialog ASEAN-PBB, yang mengiktiraf kerjasama ASEAN-PBB dalam menyokong usaha serantau menangani COVID-19. Berikutan ketidaktentuan dan cabaran global, ASEAN dan PBB hendaklah bekerjasama lebih rapat melalui penglibatan yang membina bagi menegakkan multilateralisme.

Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin menyeru kerjasama yang lebih kukuh antara ASEAN dan PBB bagi memastikan kerjasama antarabangsa yang terbuka dan berasaskan peraturan demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran rantau ini, serta sokongan daripada PBB dalam menangani krisis makanan, tenaga dan keselamatan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -