Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Anugerah BICTA 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan berangkat dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah BICTA 2022 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI); Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2022; dan Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku pengerusi bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2022.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan bin Haji Tahir.

    Yang Berhormat Pengiran Shamhary dalam sembah alu-aluannya menyembahkan mengenai inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan bagi memastikan keteguhan para peserta dan kemajuan berterusan produk BICTA.

    Beliau menyembahkan bahawa BICTA 2022 dengan tema ‘Negara Pintar Melalui Transformasi Digital’ menampilkan peralihan digital dan inovasi yang tidak dapat dielakkan dan sebaiknya dimanfaatkan ke arah mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik serta ekonomi yang mantap dan mampan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat ke Anugerah BICTA 2022 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah merupakan sebuah buku dengan teknologi augmented reality berjudul ‘Ristaan Kenangan BICTA.’
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Khas kepada CodeBit Company dengan produk, AI Pipeline for Receipts Digitisation bagi teknologi AI.

    Pada 2022, sebanyak 51 penyertaan telah diterima di mana ia merupakan peningkatan sebanyak 27 peratus jumlah penyertaan berbanding tahun sebelumnya.

    Beliau seterusnya menyembahkan, bagi 2022, BICTA juga memperkenalkan Program BICTA Level Up untuk menggalakkan perkembangan produk dan memastikan kesinambungan peserta-peserta BICTA.

    “Melalui Program BICTA Level Up, beberapa buah syarikat tempatan iaitu DST, imagine, Progresif, Dynamik Technologies dan Shell LiveWIRE Brunei tampil sebagai BICTA Supporting Partners, dengan memberikan sokongan melalui inisiatif ma-sing-masing bagi mengasah potensi produk dan peserta BICTA yang terpilih,” jelasnya.

    BICTA juga melakar satu pencapaian dengan penubuhan BICTA Alumni pada 2021 dengan objektif untuk mengumpulkan peserta-peserta BICTA yang lalu.

    Selain itu, peserta BICTA juga memperoleh manfaat untuk memaparkan dan mengetengahkan produk mereka di mana di antara produk yang dipertandingkan pada mulanya sebagai peringkat idea atau prototaip telah berjaya dimajukan ke tahap komersial sehingga berhasil menembusi pasaran yang kompetitif.

    Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan tayangan video mengenai kisah-kisah kejayaan BICTA yang memaparkan pengalaman beberapa peserta BICTA yang berjaya memajukan produk mereka selanjutnya selepas bertanding dalam BICTA.

    Ini disusuli dengan video Catatan Perjalanan BICTA 2022 yang menunjukkan kompilasi aktiviti dan pengalaman para peserta sejak BICTA sepanjang 2021 dan 2022.

    Ulasan keputusan bagi BICTA 2022 telah diumumkan oleh ketua hakim bagi Anugerah BICTA 2022, Pengiran Sarimah.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan penghargaan kepada hakim-hakim serta pengurniaan Anugerah BICTA bagi setiap kategori pertandingan, Anugerah Khas dan Anugerah Penaung Diraja BICTA.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenaan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Pengiran Shamhary berupa sebuah buku dengan teknologi augmented reality berjudul Ristaan Kenangan BICTA yang dihasilkan oleh anak tempatan dari Universiti Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...