Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    Jenayah, pelanggaran etika dalam PPDB perlu dibanteras

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat ke Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), di Gadong.

    Bertitah pada keberangkatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan mustahaknya PPDB memiliki peta korporat perancangan strategik yang diharapkan untuk mengubati dukacita negara iaitu bersabit di dalam pasukan polis masih terdapat banyak jenayah yang dilakukan oleh warga pasukan sendiri.

    Baginda menekankan perkara-perkara jenayah dan yang melanggar etika kerja perlu dibanteras kerana tidak ada maknanya jika nama sahaja pegawai keselamatan tetapi perbuatan tidak membawa selamat.

    KDYMM Baginda Sultan semasa berkenan menyampaikan titah.

    Titah Baginda turut menyentuh isu projek-projek PPDB yang tidak dimanfaatkan dan aspek perancangan sumber tenaga manusia yang mesti dikemas kini. Ini selaras dengan usia PPDB yang mencecah lebih 100 tahun.

    “PPDB telah mencapai usianya ke-100 tahun pada 1 Januari yang lalu. Di kesempatan ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggota PPDB baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, atas segala khidmat bakti mereka yang telah dicurahkan.

    “Mengimbas balik tempoh 100 tahun penubuhan PPDB, pelbagai perkembangan dan perubahan telah dialami oleh pasukan termasuk pelbagai ujian atau rintangan, namun semua ini tidak boleh mematahkan semangat pasukan.

    “Pasukan polis mesti cekal dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua cabaran di samping terus menjaga diri untuk sentiasa bersih dari sebarang gejala yang boleh melemahkannya.

    “Pasukan polis tidak membelakangi prosedur operasi standard (SOP) kerana jika sebarang jenayah atau pelanggaran keselamatan tidak ditangani mengikut SOP maka natijahnya mungkin mengecewakan.”

    Baginda bertitah, dalam usianya mencecah lebih 100 tahun, amat mustahak bagi pasukan polis untuk memiliki peta korporat perancangan strategik bagi memandunya ke arah masa depan kepolisian yang lebih teratur.

    “Beta melihat peta korporat perancangan strategik tersebut akan dapat memperbaiki semua aspek kepimpinan, pengurusan, pentadbiran, latihan dan keupayaan, logistik pasukan polis.

    “Inilah yang sangat diharapkan untuk mengubati dukacita kita iaitu bersabit di dalam pasukan polis masih terdapat banyak jenayah yang dilakukan oleh warga pasukan sendiri seperti rasuah, judi, pecah amanah termasuk bersekongkol dengan geng-geng penjenayah seperti membocorkan jadual sekatan jalan raya dan operasi pengendahan tempat yang disyaki menjadi markas kegiatan jenayah sehingga dengan persekongkolan seperti itu menjadikan sukar bagi pihak penguat kuasa untuk mendapatkan bahan bukti.

    Baginda menegaskan perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana jika dibiarkan, ia akan menjejaskan martabat dan kredibiliti pasukan.

    “Tetapi soalnya, siapakah yang bertanggungjawab untuk membaiki kepincangan ini? Jawabnya ia mestilah dilakukan dari dalam jua kerana Pasukan Polis adalah ibarat sebuah keluarga. Jika terdapat sebarang anggota yang bermasalah, bukankah kepala atau ketua keluarga lebih layak menanganinya.

    “Dalam makna, ketua atau pegawai atasan jua yang lebih utama untuk membuat perhitungan segera. Tetapi ini pun jika ketua atau pegawai atasan itu bukan pengamal ‘kronisme’ dan ‘nepotisme’, maka barulah dapat diharapkan penyelesaian yang baik dan adil.

    Titah Baginda turut memperingatkan para pegawai dan anggota PPDB supaya tidak melakukan penganiayaan dan melanggar etika kerja.

    “Di bawah ketua terdapat pula pegawai-pegawai pangkat tinggi. Mereka ini juga diingatkan supaya jangan menggunakan kuasa untuk menganiaya anggota-anggota pangkat rendah. Mereka sama sekali tidak berhak untuk berbuat yang demikian itu.

    “Tidak ada pegawai dan anggota PPDB yang above thelaw. Sebagai pemimpin pegawai-pegawai atasan bukannya untuk melindungi mereka yang melakukan kesalahan atau bersekongkol dengan mereka untuk mencari sumber yang menyalurkan maklumat kesalahan mereka ini.

    “Selain dari melakukan penganiayaan, ada juga yang melanggar etika kerja seperti meninggalkan tempat bertugas sebelum lagi acara-acara selesai dan balik ke pejabat untuk berehat. Malah lebih keji lagi, ada juga penyandang pangkat tinggi yang melakukan gangguan seksual terhadap rakan sekerja.

    Antara pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang hadir.

    “Beta mahu perkara-perkara ini jangan dipandang ringan oleh ketua. Perkara ini perlu dibanteras kerana tidak ada maknanya jika nama sahaja pegawai keselamatan tetapi perbuatan tidak membawa selamat.”

    Pada keberangkatan ke Ibu Pejabat PPDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama pegawai-pegawai kanan PPDB.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

    Keberangkatan Baginda dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yussof, Timbalan-TimbalanMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos, dan Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.

    KDYMM menandatangani plak semasa berangkat membuat lawatan ke Ibu Pejabat PPDB, di Gadong.

    Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Penolong Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis, Muhammad Amirul bin Haji Metussin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri keberangkatan dengan berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap di Mes Pegawai Polis, Gadong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...