Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Berkenan Berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi MMN ke-18

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

    Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Pada majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebagai bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 MMN.

    Terdahulu sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi, Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan MMN, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-17 yang telah bersidang selama 11 hari bermula 15 hingga 25 Mac 2021. Persidangan kemudiannya ditangguhkan bagi majlis pembukaan rasmi.

    MMN Musim ke-18 dipengerusikan oleh Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah semasa berkenan berangkat masuk ke Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama semua ahli MMN semasa Istiadat Pembukaan Rasmi MMN ke-18 kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan MMN ke-18 di Bangunan Dewan Majlis kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan MMN ke-18 yang berlangsung kelmarin.
    Bangunan Dewan Majlis tempat persidangan Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara berlangsung.
    Yang Berhormat Penasihat Khas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Tenaga serta ahli MMN pada majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menghadiri majlis pembukaan MMN ke-18 kelmarin.

    Antara perwakilan asing yang hadir ke istiadat tersebut.

    Ahli-ahli MMN seramai 36 orang terdiri daripada ahli-ahli rasmi kerana jawatan, ahli-ahli yang dilantik daripada orang-orang bergelar, ahli-ahli yang dilantik daripada orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan MMN ke-18 akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang (2022) Perbekalan, 2022/2023, yang akan melalui tiga peringkat sebelum ia dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk dapat diguna pakai bermula 1 April depan.

    Persidangan MMN akan disambung esok bermula pukul 2:30 petang di mana persidangan pada tahun ini dibukakan kepada jumlah kapasiti yang terhad.

    Orang ramai boleh mengikuti rakaman persidangan harian yang juga boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti lagi pada pukul 10:40 malam bagi rakaman sesi petang.

    Di samping itu, laporan harian juga boleh dibaca melalui laman sesawang rasmi MMN, www.majlis-mesyuarat.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...