Berkenan berangkat ke JIS

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat bagi menyaksikan persembahan drama para pelajar Tahun 8 di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Persembahan drama The Tempest yang dijayakan oleh seramai 161 pelajar itu turut disertai oleh paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua di Auditorium Pusat Seni, JIS dijunjung oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku naib pengerusi Lembaga Pengarah JIS, setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan dan ahli-ahli lembaga pengarah.

Turut menjunjung keberangkatan tersebut ialah Pengetua, Nicholas Sheedan dan Ketua Sekolah Menengah JIS, Anthony Piper.

Persembahan drama tersebut merupakan sebahagian pengajian di sekolah itu yang bertujuan mendedahkan para pelajar dengan kemahiran membuat persembahan, bekerja berkumpulan dan bercakap di khalayak ramai.

Pada malam itu, para pelajar mempersembahkan karya terkenal William Shakespeare yang mengisahkan pelayaran di lautan bergelora dan di sebuah pulau tempat ahli sihir Prospero dan anaknya Miranda tinggal mengandungi beberapa pengajaran tertentu dalam kehidupan.

Penerbitan drama tersebut memerlukan para pelajar untuk meneroka pelbagai idea bagi mewujudkan sebuah drama yang baik.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat menyaksikan persembahan drama di JIS.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan turut serta membuat persembahan drama di JIS.