Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Infofoto dan Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kemasyarakatan ke-9, 2017 seterusnya merasmikan Projek Jari-Jari Hijau PPPBD di ibu pejabat persatuan berkenaan, hari ini.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.
Majlis sambutan ini merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan yang antara lain bertujuan untuk mendedahkan dan mendidik ahli-ahli mengenai budaya berkhidmat untuk masyarakat terutama kepada yang memerlukan bantuan.
Dalam masa yang sama memupuk dan memantapkan sifat jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh persatuan.
Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dalam sembah alu-aluan telah menjelaskan mengenai projek berkenaan yang mula dilancarkan pada Januari 2009 iaitu ‘Berbakti kepada Bumi’ yang diusahakan dengan jayanya.







Menurutnya lagi, sebanyak 92 batang pokok buah daripada pelbagai jenis buah tempatan ditanam dan tumbuh dengan subur, antaranya buah ciku, mangga, rambutan, asam aur-aur dan manggis yang mana hasilnya telah dapat dinikmati oleh ahli-ahli persatuan.
Sementara itu, hasil tanaman sayuran dan herba juga telah dapat dinikmati oleh ahli persatuan selain diagih-agihkan dan dikongsi sama dengan warga emas orang yang tidak mampu dan ibu tunggal pada bulan Ramadan yang lalu.
Dengan semangat kental, jelasnya, ahli dewasa persatuan berkenaan memulakan satu projek kesinambungan dengan tujuan memupuk minat ahli baru yang terdiri 50 orang ahli Pandu Puteri, Pandu Puteri Ranger dan Pemimpin Muda dari maktab, pusat tingkatan enam dan sekolah menengah yang dipilih untuk menyertai Projek Jari-Jari Hijau.
Projek ini, sembahnya, dilaksanakan selaras dengan program pendidikan tidak formal Pandu Puteri, Pandu Puteri Ranger dan Pemimpin Muda iaitu cabaran mental, kerohanian dan tenaga.
Menurutnya lagi, setelah tamat projek berkenaan, ahli-ahli akan menerima Lencana Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan Makanan kerana projek ini berkaitan dengan penyebaran perubahan cuaca kesihatan dan pemakanan yang sihat.
Pada majlis itu, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dijunjung berangkat menyaksikan Projek Jari-Jari Hijau di kawasan lapang ibu pejabat persatuan berkenaan.
Terdahulu itu, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan menyempurnakan penyampaian buku Panduan Projek Jari-Jari Hijau kepada wakil maktab, pusat tingkatan enam dan sekolah menengah yang menyertai projek tersebut.