Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.
Turut hadir ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hadir sama ialah setiausaha-setiausaha tetap di JPM, timbalan pesuruhjaya PPDB, mantan-mantan timbalan menteri pertahanan dan mantan-mantan pemerintah ABDB, setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah ABDB dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah tentera dan para pegawai serta anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Soldadu Mohd Zainul Arifin bin Haji Haminuddin, diikuti sembahyang fardu Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin dan Tahlil, Doa Kesyukuran dan sembahyang fardu Isyak berjemaah diimamkan dan dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Ia diakhiri dengan Majlis Santap Malam di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selepas sesi bergambar ramai dan penandatanganan lembaran kenangan.
Majlis kesyukuran sempena Sambutan Jubli Intan ABDB juga diadakan serentak di seluruh negara di mana di Daerah Belait ia diadakan di Masjid Pekan Seria, Masjid Kampung Luagan Dudok di Daerah Tutong, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie di Daerah Temburong serta surau-surau garison dan perkhemahan ABDB.
Upacara kemuncak sambutan akan diadakan secara tertutup esok di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bertemakan ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara.’

