Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan Berangkat ke Majlis Khatam PPPBD

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim.

    Majlis khatam menyaksikan dua buah kumpulan pembaca terdiri daripada ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Tadbir, pemimpin-pemimpin dewasa, pemimpin-pemimpin muda, Pandu Puteri Ranjer Dan Pandu Puteri telah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.

    Turut menyertai majlis itu ialah ahli-ahli persatuan yang terlibat dalam Projek Pencinta Kalam Allah yang telah melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran setiap seorang buat kali ketiga.

    Majlis diserikan dengan bacaan doa diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pemimpin Muda PPPBD, Dayangku Nor Fatin Fetriah binti Pengiran Haji Isa, bacaan surah-surah dimulai dengan Surah Al-Fatihah oleh Pemimpin Muda PPPBD, Dayangku Norsabreena binti Pengiran Razali dan kemudian bacaan Tahtim oleh peserta-peserta Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 yang diketuai oleh Pemimpin-pemimpin Muda PPPBD, Dayang Nur Izzati Umairah binti Abdullah Ali dan Dayang Siti Nurashiffa binti Haji Awang Mohd Eddie.

    Doa Khatam Al-Quran kemudiannya dibacakan oleh Pemimpin Muda PPPBD, Dayang Nor Sabrina binti Ratna manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Selamat pula akan dipimpin oleh Dayangku Nor Fatin Fetriah.

    Majlis khatam itu merupakan salah satu kegiatan keagamaan tahunan persatuan berkenaan, bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-38.

    Selain itu, ia juga bertujuan bagi memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran di kalangan ahli persatuan sekali gus mendidik ahli-ahli dari aspek kerohanian; untuk ahli-ahli lebih mendekatkan diri kepada Al-Quran yang merupakan panduan hidup yang lengkap; dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah di kalangan ahli persatuan.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 anjuran Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam (PPPBD) yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...