Berkenan berangkat ke Majlis Khatam Yayasan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Yayasan sempena Bulan Ramadan 1442H/2021M, yang berlangsung di Kompleks Yayasan di ibu negara petang tadi.

Menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof  selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran oleh peserta yang terdiri daripada 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan yang dipimpin oleh Guru Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dr Haji Samsul Muawan bin Haji Shodiq.

Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.  Majlis berakhir dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

Juga hadir pada majlis ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Yayasan sempena Bulan Ramadan 1442H/2021M yang berlangsung di Kompleks Yayasan, kelmarin. Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. – Gambar oleh Infofoto.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah pada Majlis Khatam Al-Quran Yayasan yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, kelmarin.
Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.
Majlis Khatam Al-Quran turut disusuli dengan sembahyang Fardu Magrib berjemaah.