Berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Empat orang qari dan empat orang qariah lagi memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari kedua Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2019 di Dewan Pleno, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 2019; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut menjunjung keberangkatan ialah Ketua HakimSyarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli jawatankuasa tertinggi majlis musabaqah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2019 pada hari kedua di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menerima junjung ziarah.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili semasa mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Antara peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M.

Antara tetamu dan jemputan yang hadir pada majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah,Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohidin.

Peserta yang memperdengarkan bacaan pada hari kedua ialah Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri, Awang Ahmad Zul-Waqar bin Haji Suhaili, Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya, Haji Muhammad Albi bin Haji Ibrahim, Hajah Norfaizah binti Haji Emran (johan menunggu), Haji Hazwan bin Haji Salim dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh qariah-qariah tempatan yang pernah mengharumkan negara iaitu Hajah Aminah binti Haji Abdul Manaf yang merupakan guru agama terlatih di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.

Beliau pernah menjadi johan di Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia tahun 2002 dan menerima insentif berupa elaun sepanjang hayat berjumlah $2,000 setiap bulan bermula 5 Ogos 2012.

Hajah Jamilah binti Haji Abdul Manaf yang merupakan nazir sekolah-sekolah agama, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama pula pernah mengharumkan negara dengan mendapat tempat ketiga pada musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia tahun 1992.

Manakala itu, Hajah Siti Ara binti Haji Idris yang merupakan bekas guru agama juga pernah mendapat tempat ketiga pada Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia tahun 1978.

Majlis pengumuman keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2019 akan diadakan esok di tempat sama.