Berkenan berangkat ke Majlis Nuzul Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1440 Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Turut menjunjung keberangkatan Baginda ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ketua Pegawai Eksekutif Interim Telekom Brunei Berhad (TelBru), Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Pentadbiran Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB), Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan beramah mesra bersama salah seorang peserta dan orang ramai yang hadir.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah pemenang Kategori E kepada Awang Abdul Aziz.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah pemenang Kategori Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran berserta Pemahaman Juzuk 23 kepada Dayangku Nurol Hafizah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima junjung ziarah.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan sembah alu-aluan.
Antara jemputan yang hadir ke majlis itu.

Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, yang menyatakan pendekatan senegara dalam aspek tertentu bidang keagamaan khasnya aspek perundangan, pendidikan dan bidang sy’iar kemajuan Islam termasuk ehwal masjid dan dakwah adalah sangat ketara menjadi sebahagian dari ciri terpenting corak kenegaran berpemerintahan beraja yang Islami.

Ciri dan corak sedemikian, jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama setentunya berkehendak semangat, memerlukan kesedaran generasi untuk generasi penerus negara.

“Mereka mempunyai potensi untuk tidak sahaja mengekalkan tetapi mengembangkannya sesuai dengan cabaran yang ditempuh dalam menegakkan kedaulatan pemerintah beraja yang Islami itu,” tambahnya.

Dengan tema ‘Memperkasa Pembelajaran Al-Quran’, yang menekankan dan menegaskan kepentingan mempelajari Al-Quran dari segi bacaan, hafazan dan yang penting dari segi kefahamannya mengenai makna dan tafsiran.

Sementara itu makluman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi dan Peringkat Negara Anggota MABIMS di-sembahkan oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku pengerusi jemaah hakim.

Acara diteruskan dengan persembahan lima orang pemenang terbaik daripada peringkat akhir kebangsaan bagi setiap kategori dan dua orang pemenang terbaik bagi negara anggota MABIMS.

Johan bagi Kategori ‘A’ iaitu Menghafaz Surah-surah Pilihan dari Juzuk 30 ialah Awang Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol dengan markah 98.71 peratus dengan membawa pulang wang tunai $1,500 beserta pila iringan, hadiah iringan, sebuah tablet sumbangan PCSB.

Gelaran johan bagi Kategori ‘B’ iaitu Menghafaz Surah-surah Pilihan dari Juzuk 30 disandang oleh Dayang Asyshah binti Mohamed Shalahudeen dengan markah 92.71 peratus yang membawa pulang wang tunai $2,000 beserta piala iringan, hadiah iringan, sebuah tablet sumbangan PCSB.

Kategori ‘C’ iaitu Menghafaz Tiga Juzuk Al-Quran iaitu dari Juzuk 1 hingga Juzuk 3 berserta Pemahaman Juzuk 2, terbuka kepada semua peringkat umur dijuarai oleh Dayang Nur Kamaliah binti Haji Jahari dengan markah 97.21 peratus yang membawa pulang wang tunai $2,800 beserta piala iringan, hadiah iringan, sebuah tablet sumbangan PCSB.

Bagi Kategori ‘D’ iaitu Menghafaz 15 Juzuk Al-Quran iaitu daripada Juzuk 1 hingga Juzuk 15 berserta Pemahaman Juzuk 12 dan terbuka kepada semua peringkat umur, juara disandang oleh Dayang Ainaa Zahirah binti Abdul Manap dengan catatan markah 92.38 peratus dengan membawa pulang wang tunai $3,500 beserta piala iringan, hadiah iringan, sebuah komputer riba sumbangan TelBru dan telefon bimbit sumbangan PCSB.

Manakala itu, johan bagi Kategori ‘E’ iaitu Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran daripada Juzuk 1 hingga Juzuk 30 berserta Pemahaman Juzuk 23, yang terbuka kepada semua peringkat umur diraih oleh Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran dengan kutipan markah 97.38 peratus.

Beliau membawa pulang wang tunai $5,000 berserta piala iringan, hadiah iringan, sebuah komputer riba sumbangan TelBru dan telefon bimbit sumbangan PCSB.

Majlis kemudian diteruskan dengan pengumuman pemenang-pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS.

Kategori Menghafaz 10 Juz Al-Quran berserta Pemahaman Juz 9, tempat pertama menerima wang tunai $4,000 berserta piala iringan, hadiah iringan dan sijil penyertaan dimenangi dari Negara Republik Singapura, Sumaiya binti Mohamed Faiz Maricar dengan markah 93.42 peratus

Manakala bagi Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran berserta Pemahaman Juz 23 dimenangi oleh peserta negara, Dayangku Nurol Hafizah binti Pengiran Haji Tejudin dengan markah 92.77 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai $7,000 berserta hadiah iringan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun ini dikendalikan bersama KHEU dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei, TelBru dan PCSB.