Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Sijil dan Tamat Pengajian Tahun 6 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) yang berlangsung di Dewan Teater ISB, hari ini.
Antara yang menerima sijil dan menamatkan pengajian Tahun 6 ISB ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.
Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ke sekolah berkenaan dijunjung oleh Pengetua Eksekutif ISB, Dr Steven Geraghty dan Ketua Bahagian Rendah ISB, Darren Sibley.
Majlis itu merupakan acara tahunan bagi para pelajar Tahun 6 yang diraikan setelah tamat pengajian peringkat rendah dan menjadi lembaran bagi memulakan pengajian akademik baharu mereka di peringkat sekolah menengah.








Pada penganugerahan itu, setiap pelajar yang menerima sijil tamat pengajian mereka masing-masing di atas pentas juga diberi peluang untuk menyatakan penghargaan kepada ibu bapa dan guru atas usaha serta bimbingan membantu para pelajar sehingga berjaya dalam pengajian mereka.
Salah seorang penerima sijil yang juga wakil pelajar Tahun 6, Anastase Guillou dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua yang telah banyak mengorbankan masa mereka serta memberikan sokongan dalam semua kegiatan yang disertai.
Anastase Guillou juga menyatakan bahawa mereka telah berusaha gigih dalam pengajian peringkat sekolah rendah dan akan bakal menghadapi cabaran yang baharu iaitu pengajian di sekolah menengah.
Majlis turut diserikan dengan tayangan klip video yang mengetengahkan pelbagai aktiviti yang dilalui oleh pelajar-pelajar Tahun 6 yang diraikan di mana sebilangan besar daripada mereka, merupakan rakan sedarjah sejak dari sekolah tadika lagi.
Di majlis itu, Darren Sibley dalam ucapannya menyatakan tahniah kepada para pelajar yang diraikan di majlis berkenaan serta yakin yang para pelajar berkenaan telah diberikan persiapan yang mencukupi untuk melanjutkan pengajian ke sekolah menengah dan mencapai potensi penuh.
Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa mereka bakal memulakan lembaran kehidupan yang menarik di sekolah menengah di mana dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang akan datang ini, mereka akan membuat pilihan yang akan menentukan masa hadapan mereka.
Pada masa yang sama, beliau menasihati mereka supaya tekun berusaha, tidak mudah berputus asa, terus mendengar dan memilih untuk bersikap baik.
Majlis kemudian diakhiri dengan persembahan menarik dan bertenaga daripada pelajar-pelajar Tahun 6 yang diraikan yang menunjukkan bakat mereka kepada keluarga serta rakan-rakan menerusi persembahan tarian dan nyanyian yang dipetik daripada muzikal Hollywood popular, The Greatest Showman.