Berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Keberangkatan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah.

Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Yang Berhormat  Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar selaku penasihat-penasihat bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw serta penasihat-penasihat bersama, pengerusi-pengerusi bersama dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Tenaga dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazhar yang merupakan pemenang pingat emas Majlis Tadarus Al-Quran Jemputan Antarabangsa Perlis 2019 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, Malaysia.

KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 2019 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YAM Pengiran Bini Hajah Faizah serta kerabat diraja. – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama yang hadir.
KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berangkat ke majlis berkenaan.
YAM Pengiran Bini Hajah Faizah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam turut berangkat ke majlis perhimpunan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis perhimpunan khas berkenaan.

Pemangku Penolong Pengarah Perundangan Islam, Dr Noryati binti Haji Ibrahim dalam sembah alu-aluannya selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita tahun ini antara lain menjelaskan mengenai tema sambutan.

Beliau menyembahkan, tema ‘Meneladani Mu’amalat Rasulullah SAW’ antara lain bermaksud agama Islam menganjurkan untuk mengikut dan mencontohi Rasulullah SAW dalam berurus niaga, mencontohi cara dan kaedah berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping sentiasa menjaga akhlak sesama manusia dengan menuruti segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya supaya dapat meraih keberkatan dalam perniagaan dan kehidupan yang tenang dan bahagia di dunia dan di akhirat,” jelasnya.

Majlis disusuli dengan persembahan pengajaran daripada Al-Quran berbentuk sketsa oleh penuntut-penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

Persembahan menghuraikan pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam ayat 37 hingga 41 daripada Surah Ar-Rum, antaranya peringatan mengenai rezeki seseorang hamba itu telah ditentukan oleh Allah SWT dan digalakkan membuat kebajikan seperti sedekah, memberi manfaat kepada orang lain serta menjaga silaturahim.

Selain itu, persembahan turut membawa penonton untuk lebih menghayati serta memahami keperibadian Rasulullah SAW melalui contoh mu‘amalat Baginda.

Majlis seterusnya mendengarkan ceramah khas mengenai tema sambutan yang disampaikan oleh Pegawai Istinbat Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Hajah Noraini binti Haji Buntar.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban dan diselajurkan dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai yang dipimpin oleh gabungan pegawai dan kakitangan KHEU, Kementerian Tenaga dan ahli-ahli MWNBD.

Doa selamat dibacakan oleh Pemangku Penolong Ra‘es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Datin Dr. Hajah Nor Hira binti Haji Nor Kaseh.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja berkenan berangkat menyaksikan Pameran Usahawan Wanita yang membawa tema ‘Usaha Wanita dalam Meneladani Mu‘amalat Rasulullah SAW’.

Pameran yang disertai oleh enam pengusaha wanita itu antara lain bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penglibatan wanita menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam meneladani muamalat Rasulullah SAW.

Antara yang menyertai pameran itu adalah Koleksi Husna (produk kain tenunan), DBlingz Enterprise (fesyen wanita), Aini Enterprise (anyaman bakul), Perusahaan Norsiah binti Mohd Tuah (kraftangan), Hazeeyah Agro Farm (telur masin) dan Munch Brunch Canteen (perkhidmatan pembersihan).