Berkenan berangkat ke majlis sambutan awal tahun 1442 hijrah

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan sejurus selepas itu, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan diikuti dengan laungan azan sembahyang Fardu Maghrib oleh Mudim Haji Abdul Latip bin Haji Saman.

Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja serta jemaah masjid menunaikan sembahyang Fardu Maghrib yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga memimpin bacaan Doa Awal Tahun Hijrah.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan menunaikan solat fardu pada majlis berkenaan.
Antara menteri-menteri kabinet yang hadir pada Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua hadir selaku tetamu khas pada majlis sambutan di Masjid RPN Kampung Pandan yang menjadi masjid tumpuan di Daerah Belait. – Gambar oleh Daniel Lim

Acara disusuli dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang juga diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

Bagi memohon keberkatan dan rahmat pada majlis yang berkebajikan berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Dalam pada itu, Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah juga diadakan serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan penumpuan di setiap daerah.

Di Daerah Tutong, tumpuan majlis berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong di mana hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Di Daerah Belait, tumpuan majlis ialah di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan dan hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Manakala itu, di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar di mana hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Tema sambutan kali ini ialah ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’.