Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1444H

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan yang lain.

    Dengan tema ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Memacu Wawasan Negara’, majlis telah dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.

    Sejurus selepas itu, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan diikuti dengan laungan azan sembahyang fardu Maghrib oleh Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Salleh.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat bagi Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, malam tadi.
    Haji Hazwan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pada majlis itu.
    Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan menunaikan sembahyang fardu Maghrib bersama jemaah masjid dengan diimamkan oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie yang juga memimpin bacaan Doa Awal Tahun Hijrah. Acara disusuli dengan sembahyang sunat Hajat berjemaah, juga diimamkan oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.

    Kemudian, acara diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang dipimpin oleh para pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba.

    Setelah itu, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh Haji Hazwan bin Haji Salim yang merupakan johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 1443H / 2022M Peringkat Akhir.

    Seterusnya, acara diisikan dengan Tazkirah Hijrah yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abdul Majid.

    Bagi memohon keberkatan dan rahmat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara juga diadakan serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan penumpuan di setiap daerah.

    Di Daerah Tutong, tumpuan majlis ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, bagi Daerah Belait, di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait manakala itu, bagi Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...